Assalammualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan buat pembaca ruangan blog sekalian. Semoga anda semua berada dalam keadaan sihat hendaknya. Pada kali ini, saya akan membicarakan tajuk Tersirat dan Tersurat. Idea untuk menulis tentang tajuk Tersirat dan Tersurat ini saya perolehi semasa saya menunggang motosikal melalui Lebuh raya Utara-Selatan untuk pulang ke kampung bagi menyambut Hari Raya Aidiladha. Dalam keghairahan menunggang motosikal untuk pulang ke kampung, saya terperasan tentang satu papan tanda yang diletakkan di sepanjang jalan yang saya lalui, iaitu papan tanda seperti dalam gambar di sebelah. Pada mulanya saya menganggap papan tanda ini seperti papan tanda lain yang berfungsi untuk memberikan isyarat tertentu kepada pengguna jalan raya. Papan tanda ini memaparkan simbol seekor lembu dan di bawahnya dinyatakan perkataan 'Hati-Hati Memandu'.
Namun, semakin jauh perjalanan saya semakin saya sedari bahawa terdapat begitu banyak papan tanda yang menunjukkan simbol lembu ini diletakkan di tepi-tepi jalan dan bukannya hanya di kawasan-kawasan tertentu sahaja. Terdetik difikiran saya mengapa papan tanda ini diletakkan di sepanjang jalan. Padahal di lebuh raya tersebut sudah ada pembahagi jalan yang dibina sepanjang laluannya. Jika ada lembu sekalipun mana mungkin lembu tersebut mempunyai tenaga melompat seperti seekor kuda untuk melepasi pembahagi jalan tersebut. Mana mungkin juga ada lembu yang diternak di kawasan berjuram dan bergaung. Persoalannya, apakah perkara tersirat disebalik papan tanda tersebut?
Apa yang mahu saya kaitkan di sini ialah dalam pengajian bahasa terdapat satu cabang ilmu yang mengkaji tentang makna simbol atau lambang, iaitu bidang semantik dan pragmatik bahasa Melayu. Melalui bidang semantik dan pragmatik ini saya tidak mahu mengajak anda untuk melihat makna tersurat disebalik penggunaan simbol lembu tersebut kerana pada kebiasaannya kita memahami bahawa simbol lembu digunakan di kawasan yang menjadi tempat lembu sering melintas atau kawasan yang banyak lembu. Namun, jika kita melihat simbol ini dari sudut semantik dan pragmatik sebenarnya berfungsi sebagai tanda amaran kepada pengguna jalan raya untuk sentiasa berhati-hati semasa memandu. Apabila menggunakan simbol seperti ini pengguna jalan raya akan lebih berhati-hati kerana mereka akan berfikir tentang lembu dan lumrah sang lembu yang tidak berakal ini akan melintas tanpa sebarang amaran. Hal ini akan menyebabkan berlakunya perkara yang tidak diingini.
Saya kira pihak yang bertanggungjawab mewujudkan papan tanda yang menggunakan simbol lembu seperti ini merupakan seorang yang sangat bijak kerana beliau dapat berfikir sesuatu yang boleh mempengaruhi psikologi pemikiran manusia lain. Bagi yang pernah mempelajari bidang semantik dan pragmatik pula, menjadi satu kelebihan kepada mereka kerana dapat mentafsir makna tersirat penggunaan papan tanda tersebut. Sekian..
No comments:
Post a Comment