Thursday, 18 October 2012

Senyuman (Bahasa Tubuh)



Assalammualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan buat pembaca ruangan blog sekalian. Pada kali ini, saya akan membincangkan satu tajuk yang masih lagi dalam konteks berbahasa tetapi bukan secara lisan, sebaliknya melalui bahasa tubuh, iaitu senyuman. Saya tertarik untuk bercakap tentang hal ini kerana saya lihat masyarakat di luar kebanyakannya agar sukar untuk memberikan seukir senyuman di bibir mereka. Sebagai contoh, semasa saya hendak menghadiri kuliah pada pagi tadi. Saya berjumpa dengan ramai manusia yang sukar mengukirkan senyuman di wajah mereka. Bermula dengan wajah masam pengawal keselamatan di pintu utama kampus, kemudian wajah mengantuk pelajar-pelajar yang hendak ke bilik kuliah dan apabila sampai di dalam kelas situasinya tetap sama. Namun, masih ada yang bermurah hati untuk memberikan senyuman mereka kepada manusia lain. Alhamdulillah.

          Pada pendapat saya, senyuman merupakan bahasa tubuh yang paling mudah untuk kita lakukan. Melalui senyuman kita akan memberikan isyarat kepada ribuan manusia yang lain bahawa kita seorang yang mesra, mudah didekati, gembira dan senang hati walaupun hakikat sebenarnya menunjukkan perasaan yang sebaliknya. Bagi manusia lain yang melihatnya pula, pasti perasaan tenang dan gembira akan dapat mereka rasakan. Jika kita perhatikan kepada lirik lagu di atas, antara kata-katanya ialah senyuman tanda mesra, senyuman tanda sayang, senyuman sedekah yang paling mudah dan senyum di waktu susah tanda ketabahan serta keimanan.

          Oleh itu, janganlah kita berasa kedekut dalam memberikan senyuman kepada orang lain. Walau apa pun dugaan yang kita terima, Insya-Allah dengan senyuman nescaya masalah itu akan dapat diselesaikan sedikit demi sedikit. Jadi gunakanlah bahasa tubuh yang mudah ini untuk mengembirakan hati sendiri dan secara tidak langsung menyejukkan mata manusia lain yang melihat kita. Sekian..




Wednesday, 17 October 2012

Bahasa Anak Kecil



Assalammualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan buat pembaca ruangan blog sekalian. Pada kali ini, saya akan membicarakan tentang tajuk Bahasa Anak Kecil. Dalam mencari-cari idea untuk membuat entri baharu, saya terlihat satu klip video anak-anak kecil yang sedang menyanyikan koleksi lagu kanak-kanak berserta dengan tarian yang sangat mencuit hati. Saya tidak pasti lokasi klip video ini dirakamkan, namun dari apa yang saya lihat klip video ini merupakan rakaman dari murid-murid pra-sekolah. Jika anda perhatikan murid-murid ini membuat satu persembahan yang pada saya sesuatu yang menarik dan menghiburkan.

         Pada pendapat saya, ucapan taniah harus diberikan kepada tenaga pengajar yang melatih murid-murid ini kerana bijak dalam membentuk dan mencungkil kreativiti murid-muridnya. Aktiviti seperti inilah yang kita harapkan apabila menghantar anak-anak kita ke pra-sekolah. Melalui aktiviti seperti ini, anak-anak kecil ini akan belajar cara untuk berfikir, berkomunikasi, bergerak, menghafal dan sebagainya. Seterusnya, dapat membina keyakinan dalam diri mereka untuk berhadapan dengan orang ramai. Saya kira penerapan ilmu seperti ini selain daripada aktiviti biasa dalam kelas, dapat mewujudkan perasaan ingin mencuba dalam diri murid-murid ini dan memberikan pengalaman yang berguna kepada mereka.

        Selain itu, melalui nyanyian seperti ini juga secara tidak langsung kita sudah mengajar anak-anak kecil ini tentang penguasaan berbahasa. Melalui cara ini murid-murid tersebut akan berkomunikasi dengan lebih kerap untuk berbincang, berlatih, bermain, menghafal dan sebagainya. Hal ini merupakan suatu perkara yang positif dalam usaha kita untuk menggalakkan anak-anak kecil ini untuk berbahasa dengan betul. Seterusnya, diharapkan penguasaan berbahasa mereka akan terus meningkat mengikut tahap usia dan pembelajaran mereka kelak. Sekian.. 




Tuesday, 16 October 2012

Persidangan Antarabangsa Memartabatkan Bahasa Melayu


Assalammualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan buat pembaca ruangan blog sekalian. Semoga anda semua berada dalam keadaan sihat hendaknya. Pada kali ini, saya akan membincangkan tentang situasi sekitar Persidangan Antarabangsa Memartabatkan Bahasa Melayu sempena Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Perak 2012. Persidangan yang berlangsung selama dua hari ini, iaitu bermula dari 15 - 16 Oktober 2012, telah diadakan di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak. Persidangan ini bukan sahaja melibatkan pembentang-pembentang kertas kerja dari dalam negara, bahkan turut disertai oleh pembentang-pembentang dari negara luar seperti dari Singapura, Indonesia dan Selatan Thailand.

          Pada pendapat saya, persidangan seperti ini sangat bersesuaian diadakan atau dianjurkan dengan lebih kerap dalam memberikan pendedahan kepada kita tentang keadaan semasa bahasa Melayu pada waktu ini. Selain dapat bertukar-tukar maklumat sesama bangsa Melayu, persidangan sebegini juga dapat mengeratkan hubungan persahabatan. Di samping itu, persidangan seperti ini dapat memberikan kesan positif kepada golongan muda terutamanya mahasiswa dan mahasiswi supaya sayang akan bahasa ibunda sendiri dan seterusnya dapat menanamkan sifat patriotik terhadap bahasa Melayu dalam diri mereka.

          Namun, sedikit mengecewakan saya ialah sambutan yang diberikan oleh pihak kementerian kurang memberangsangkan. Sekiranya diperhatikan sepanjang dua hari persidangan ini berlangsung, saya tidak lihat mana-mana wakil dari kementerian yang turut hadir dalam mendengar tentang permasalahan atau cadangan yang diberikan oleh ahli-ahli panel yang mengambil bahagian. Perkara ini dilihat sebagai suatu yang mengecewakan kerana bercakap sahaja tanpa mendapat bantuan atau sokongan dari pihak kementerian sememangnya sesuatu yang sukar untuk kita mengubah apa-apa dasar sekali pun. Diharapkan situasi seperti ini tidak akan berlaku lagi pada masa yang akan datang. Sekian..




Saturday, 13 October 2012

Bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia


Assalammualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada pembaca ruangan blog sekalian. Saya harap anda semua berada dalam keadaan sihat hendaknya. Pada kali ini, saya ingin membincangkan tentang tajuk Bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia. Saya kira tajuk ini sangat perlu dibincangkan dalam merungkaikan pemahaman pembaca yang selalu terkeliru sama ada menggunakan istilah bahasa Melayu atau bahasa Malaysia.

          Pada pendapat saya, saya sangat bersetuju dengan istilah bahasa Melayu dan menolak sepenuhnya bahasa Malaysia. Maaf sekiranya saya tidak perasan atau sedar tentang kewujudan bahasa Malaysia kerana setahu saya bahasa rasmi negara Malaysia ialah bahasa Melayu. Sekiranya terdapat orang cina, india atau lain-lain menuturkan bahasa tersebut, ianya tetap bahasa Melayu atas rasional bahasa Melayu merupakan hak milik orang Melayu yang menjadi penutur natif dan pemilik asal bahasa ini. 

         Saya memetik kata-kata yang diucapkan oleh Allahyarham Datuk Dr. Hassan Ahmad, beliau menjelaskan bahawa mengapa kita perlu menukar istilah bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia hanya kerana negara Malaysia terdiri daripada penduduk yang pelbagai bangsa. Sedangkan negara-negara lain di dunia seperti England dan Amerika yang menuturkan bahasa Inggeris tetap menggunakan istilah bahasa Inggeris. Negara-negara ini tidak pula menukar istilah tersebut kepada bahasa Amerika atau bahasa England sedangkan mereka telah lama mengalami transformasi yang sedang dibanggakan oleh rakyat Malaysia sekarang ini. Hal ini disebabkan mereka sedar bahawa bahasa Inggeris merupakan bahasa yang ditutur oleh bangsa Inggeris dan menjadi bahasa asal mereka. Saya anggap apa yang dikatakan oleh Allahyarham Datuk Dr. Hassan Ahmad sangat baik dan saya berpendapat bahawa beliau merupakan seorang manusia yang tidak takut kepada manusia. 

          Saya kira sudah jelas apa yang dirungkaikan ini, janganlah pembaca sekalian mempertikaikan tentang istilah bahasa Melayu ini kerana sememangnya pemilik asal bahasa Melayu ialah kita sendiri, iaitu bangsa Melayu. Sekian..




Friday, 12 October 2012

Ejaan Lama di Alaf Moden


Assalammualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan buat pembaca ruangan blog sekalian. Semoga kalian berada dalam keadaan sihat hendaknya. Pada kali ini, saya akan membicarakan tentang tajuk Ejaan Lama di Alaf Moden. Dalam tajuk kali ini saya akan memfokuskan kepada kesalahan ejaan yang terdapat pada papan tanda di premis-premis perniagaan. Antara kesalahan yang saya dapati ialah kesalahan menggunakan ejaan lama yang sudah dianggap tidak sesuai lagi. Berikut saya sertakan satu salinan gambar papan tanda premis perniagaan yang masih menggunakan ejaan lama:


          Gambar ini saya perolehi atau mengambilnya di Pekan Tanjung Malim. Pada pendapat saya, perkara ini tidak seharusnya terjadi terutamanya dalam zaman sekarang ini. Seharusnya, pemilik premis perniagaan ini sedar tentang kesalahan ejaan tersebut. Kemungkinan pemilik hanya memandang perkara ini sebagai suatu perkara yang kecil. Namun sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, pemilik seharusnya memandang perkara ini sebagai suatu yang perlu diambil tindakan. Saya kira tidak menjadi beban kepada pemilik sekiranya beliau memperbetulkan kesalahan ejaan tersebut kerana hanya memerlukan kos yang sedikit berbanding keuntungan yang diperolehi oleh beliau. Sekian..







Tuesday, 9 October 2012

Bahasa Ahli Dewanku



Assalammualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada pembaca sekalian. Semoga berada dalam keadaan sihat hendaknya. Pada kali ini, saya akan menyentuh mengenai tajuk Bahasa Ahli Dewanku. Sebelum pergi lebih jauh, terlebih dahulu saya memohon maaf sekiranya penulisan saya ini ada menyentuh sensitiviti mana-mana pihak. Saya cuma mahu bercakap dalam konteks bahasa dan memberikan contoh yang sesuai seperti dalam klip video di atas.

          Pada pandangan saya, seharusnya sebagai seorang pemimpin kepada rakyat yang menetap di negara Malaysia selama berpuluh tahun, sudah semestinya tiada masalah untuk menuturkan bahasa Melayu dengan sempurna. Sekiranya terdapat sedikit loghat dari bahasa sendiri, perkara itu masih boleh dimaafkan kerana kita faham bukan mudah untuk melatih lidah menjadi lembut. Namun, sekiranya tahap penguasaan bahasa Melayu itu berada pada tahap yang begitu lemah seperti dalam klip video di atas. Hal ini pastinya menimbulkan rasa kecewa kepada kita. Di mana letaknya semangat nasionalisme sekiranya bahasa Melayu yang menjadi bahasa rasmi negara dan digunakan dalam kehidupan seharian itu pun tidak dapat dikuasai dengan sepenuhnya.

          Sebagai seorang pemimpin yang menjadi contoh kepada pengikutnya, beliau haruslah memandang serius tentang masalah berbahasa ini. Sekiranya pemimpin itu sendiri tidak menggunakan bahasa Melayu dengan betul, bagaimana pula dengan bahasa pengikut-pengikutnya. Sudah semestinya mereka juga terpengaruh dengan keadaan itu. Sebagai pemimpin, beliau sepatutnya sedar bahawa beliau perlu memberikan contoh yang terbaik kepada pengikutnya dan perlu menanamkan sikap nasionalisme dalam diri mereka. Oleh itu, penggunaan bahasa Melayu yang betul penting dalam menunjukkan rasa cinta akan negara ini. Sekiranya, perkara sepenting ini tidak dapat dibuat dengan sempurna, nescaya sukarlah untuk kita dalam proses memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara ini. Sekian..

       








Sayembara Deklamasi Puisi



Assalammualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan buat pembaca ruangan blog sekalian. Baiklah, dalam beberapa jam yang lepas saya telah menghadiri satu pertandingan puisi antara pelajar-pelajar universiti, iaitu Sayembara Deklamasai Puisi Bulan Kemerdekaan ke-25. Pertandingan ini telah diadakan di Universiti Pendidikan Sultan Idris. Yang menarik minat saya untuk membicarakan tentang pertandingan ini adalah kerana inisiatif yang ditunjukkan oleh universiti-universiti dalam memelihara warisan bangsa Melayu ini.

          Pertandingan yang berlangsung selama satu hari ini telah menarik penyertaan daripada mahasiswa dan mahasiswi dari seluruh universiti di Malaysia. Pada pendapat saya, pertandingan seperti ini seharusnya diadakan dengan lebih giat lagi dalam usaha kita memperkenalkan warisan-warisan ini kepada anak-anak muda, terutamanya mahasiswa dan mahasiswi yang suatu hari nanti akan mengambil alih tampuk kepimpinan negara Malaysia kelak. Melalui pertandingan seperti ini, secara tidak langsung penguasaan berbahasa Melayu dalam kalangan pelajar dapat ditingkatkan. Walaupun mahasiswa dan mahasiswi yang bertanding datang dari pelbagai bidang kursus yang berbeza, namun mereka tetap tidak melupakan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda mereka.

          Johan pada pertandingan kali ini telah disandang oleh peserta dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan beliau seterusnya akan mewakili universiti ke peringkat kebangsaan. Gambar di atas pula merupakan peserta dari Universiti Pendidikan Sultan Idris yang berjaya mendapat tempat ketiga. Syabas diucapkan kepada pihak penganjur dan peserta-peserta yang mengambil bahagian sekalian. Semoga pertandingan seperti ini akan terus dianjurkan dari semasa ke semasa. Sekian..