Assalammualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada pembaca sekalian. Semoga berada dalam keadaan sihat hendaknya. Pada kali ini, saya akan menyentuh mengenai tajuk Bahasa Ahli Dewanku. Sebelum pergi lebih jauh, terlebih dahulu saya memohon maaf sekiranya penulisan saya ini ada menyentuh sensitiviti mana-mana pihak. Saya cuma mahu bercakap dalam konteks bahasa dan memberikan contoh yang sesuai seperti dalam klip video di atas.
Pada pandangan saya, seharusnya sebagai seorang pemimpin kepada rakyat yang menetap di negara Malaysia selama berpuluh tahun, sudah semestinya tiada masalah untuk menuturkan bahasa Melayu dengan sempurna. Sekiranya terdapat sedikit loghat dari bahasa sendiri, perkara itu masih boleh dimaafkan kerana kita faham bukan mudah untuk melatih lidah menjadi lembut. Namun, sekiranya tahap penguasaan bahasa Melayu itu berada pada tahap yang begitu lemah seperti dalam klip video di atas. Hal ini pastinya menimbulkan rasa kecewa kepada kita. Di mana letaknya semangat nasionalisme sekiranya bahasa Melayu yang menjadi bahasa rasmi negara dan digunakan dalam kehidupan seharian itu pun tidak dapat dikuasai dengan sepenuhnya.
Sebagai seorang pemimpin yang menjadi contoh kepada pengikutnya, beliau haruslah memandang serius tentang masalah berbahasa ini. Sekiranya pemimpin itu sendiri tidak menggunakan bahasa Melayu dengan betul, bagaimana pula dengan bahasa pengikut-pengikutnya. Sudah semestinya mereka juga terpengaruh dengan keadaan itu. Sebagai pemimpin, beliau sepatutnya sedar bahawa beliau perlu memberikan contoh yang terbaik kepada pengikutnya dan perlu menanamkan sikap nasionalisme dalam diri mereka. Oleh itu, penggunaan bahasa Melayu yang betul penting dalam menunjukkan rasa cinta akan negara ini. Sekiranya, perkara sepenting ini tidak dapat dibuat dengan sempurna, nescaya sukarlah untuk kita dalam proses memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara ini. Sekian..
No comments:
Post a Comment