Friday, 28 September 2012

Bahasa SMS Suatu Fenomena




Assalammualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada anda semua. Sekali lagi kita berjumpa di ruangan penulisan blog ini. Saya pasti anda semua telah mengetahui tentang tajuk yang akan saya pilih untuk kali ini selepas melihat gambar di atas. Ya, sememangnya saya memilih tajuk tentang penggunaan bahasa SMS atau nama penuhnya Short Message Service. Saya kira penggunaan SMS pada zaman ini sangat meluas di seluruh negara. Hal ini disebabkan oleh kemudahannya yang lebih cepat untuk menghantar sesuatu maklumat kepada orang lain dan yang lebih penting harganya juga jimat berbanding membuat panggilan secara terus. Oleh sebab itulah, tidak hairan mengapa masyarakat hari ini lebih gemar menggunakan SMS sebagai medium penghantaran sesuatu maklumat.

          Seterusnya, sebagai pelajar saya juga tidak terkecuali menggunakan kemudahan ini. Namun, dalam ruangan ini kita akan membincangkan tentang kesan-kesan penggunaan SMS dari sudut bahasa. Saya tidak mengatakan bahawa penggunaan kata-kata pendek atau ringkas dalam sesuatu SMS itu adalah salah. Sememangnya, sudah namanya pun Short Message Service, jadi bukanlah menjadi satu kesalahan sekiranya kita menerima maklumat dari orang lain dalam kata-kata yang pendek atau ringkas. Jika hendak menyampaikan maklumat yang banyak dan panjang buat apa guna SMS, buat sajalah panggilan secara terus.

          Namun, harus diingat walaupun pesanan yang dihantar itu boleh dalam kata-kata yang pendek dan ringkas, tetapi seharusnya berpada-pada. Biarlah pesanan yang dihantar tersebut mudah untuk difahami oleh pembaca yang menerimanya. Takut-takut lain pesanan yang hendak dihantar lain pula maksud  yang difahami oleh orang yang menerimanya. Bukankah ini akan menyebabkan berlakunya pula masalah-masalah lain yang mungkin menyebabkan berlakunya fitnah dan sebagainya. 

          Seterusnya, jika kita hendak berhubungan dengan orang yang lebih tua ataupun ibu bapa kita sendiri, saya fikir lebih eloklah menggunakan panggilan secara terus kerana perkara ini lebih baik dalam menunjukkan rasa hormat kepada mereka. Bagi para pelajar pula, penggunaan SMS sememangnya menjimatkan. Namun, sekiranya SMS itu dibuat dalam tempoh yang panjang, bukankah sama juga nilainya dengan membuat panggilan. Mahal jugakan? Bak kata pepatah tepuk dada tanyalah selera :-)

          Cukup dahulu coretan saya untuk kali ini semoga apa yang telah dibincangkan sedikit sebanyak dapat memberikan ilmu kepada anda sekalian. Insya-Allah, kita berjumpa lagi di ruangan yang akan datang. Sekian.







  

Thursday, 27 September 2012

Penggunaan Kata Pemeri dalam Bahasa Melayu


Assalammualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan sekali lagi kepada pembaca sekalian. Diharapkan kalian sentiasa sihat hendaknya. Baiklah, dalam ruangan pada kali ini saya akan membincangkan pula tentang penggunaan kata pemeri dalam bahasa Melayu, iaitu perkataan ialah dan adalah. Saya terpanggil untuk membincangkan tentang perkara ini disebabkan oleh terdapat ramai pengguna bahasa Melayu sering terkeliru dengan penggunaan dua istilah ini, sama ada dalam penulisan mahupun percakapan. Saya sendiri juga kadang-kadang terlepas pandang tentang hal ini semasa asyik menaip tugasan atau bercakap dengan orang lain.

          Pertamanya, kita pergi terlebih dahulu kepada maksud kata pemeri itu sendiri. Menurut Nik Safiah Karim et al. (2011:263) menyatakan bahawa kata pemeri ialah unsur yang menjadi pemeri hal atau perangkai antara subjek dengan frasa-frasa utama dalam predikat. Pemerihalan itu dapat dilakukan melalui dua cara, iaitu:


i) secara persamaan antara subjek dengan predikat, dengan penggunaan kata pemeri ialah,
ii) secara huraian tentang subjek oleh predikat, dengan penggunaan kata pemeri adalah.



          Penggunaan kata pemeri ialah hadir di hadapan frasa nama seperti yang terdapat dalam ayat yang berikut:

1. Bahasa Melayu ialah salah satu bahasa yang tergolong dalam keluarga Austronesia.

         

          Kata pemeri adalah pula hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama, seperti yang terdapat dalam ayat berikut:

2. Sumbangan besar beliau adalah dari segi peningkatan ekonomi rakyat luar bandar.

3. Makanan seimbang adalah baik untuk kesihatan badan.



         # Bagi memudahkan lagi pemahaman anda semua, saya rumuskan sedikit formula kecil di bawah sebagai memudahkan kita untuk mengingat.

                     - ialah     +  FN    (frasa nama)
                     - adalah  +  FA    (frasa adjektif)
                                    +  FSN  (frasa sendi nama)



          Namun, perlu diingat bahawa penggunaan kata pemeri amat terbatas, dan sebenarnya kurang digalakkan dalam pembentukan ayat bahasa Melayu. Perlu juga diingat bahawa kata pemeri tidak boleh hadir di hadapan frasa kerja atau kata kerja. Oleh yang demikian, penggunaan kata pemeri adalah dalam ayat-ayat berikut dianggap menyalahi tatabahasa bahasa Melayu.

4. *Adalah diberitahu sekolah akan ditutup esok.

5. *Kegagalan projek itu adalah disebabkan oleh kecuaian pihak pengurusan syarikat itu.




          Saya kira cukup dahulu coretan untuk kali ini. Semoga apa yang saya paparkan ini akan dapat membantu pembaca sekalian dalam menyelesaikan kekeliruan yang sering berlaku sebelum ini apabila ingin menggunakan dua kata pemeri ini. Namun, maaf dipinta kerana saya hanya menggunakan satu buku rujukan sahaja dalam menerangkan tentang perkara ini, iaitu buku Tatabahasa Dewan (Edisi Pelajar). Saya beranggapan bahawa penerangan yang diberikan dalam buku ini sudah cukup jelas untuk membantu kita memahami bagaimana penggunaan kata pemeri ini. Sekiranya pembaca ingin mendapatkan maklumat dari sumber yang lain, sangat saya galakkan dalam membantu kita untuk lebih mudah memahami. Jika anda sudah memahami sila jawab satu soalan yang tersedia di bawah ini. Sekian.







Bahasa Daerah



Assalammualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan buat pembaca ruangan blog sekalian. Pada kali ini, saya akan membicarakan tajuk Bahasa Daerah. Bahasa daerah atau loghat atau dialek ialah jenis bahasa yang digunakan dalam percakapan di sesuatu daerah atau bahagian negeri yang mempunyai pelat sebutan yang khas bagi daerah itu, yang berbeza pula daripada sebutan-sebutan umum yang digunakan di negara ini. Antara ciri yang menjadikan satu bahasa daerah berbeza daripada yang lain termasuklah kepelatan bunyi sebutan, gaya lagu sewaktu menuturkannya, dan perbezaan dari segi perkataan dan ungkapan-ungkapan tertentu. Sebagai contoh, perkataan pergi bentuk-bentuknya berubah menjadi (pi) di utara Malaysia Barat dan (gi) di Kelantan; dan perkataan ikan pula menjadi (ikang) di Terengganu dan (ike) di Kelantan.

          Dari segi perbezaan dalam penggunaan perkataan dan frasa, antara contohnya termasuklah perbezaan seperti layang-layang dengan wau, kelmarin dengan semalam, dan penggunaan kata ganti nama yang berlainan seperti awak, hang, demo, teman, eden, mu, dan seterusnya bagi orang kedua. Namun demikian, walaupun terdapat perbezaan-perbezaan ini, masih ada unsur saling memahami antara penutur yang menggunakan bahasa daerah. Dengan kata lain, walaupun bahasa daerah ini berbeza-beza, namun tetap dianggap variasi bahasa Melayu kerana penuturnya saling memahami dan ciri-cirinya mempunyai banyak persamaan.

          Antara bahasa daerah yang terdapat di negara kita termasuklah loghat-loghat Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sarawak dan Sabah. Bahasa Melayu Brunei dan bahasa Indonesia, dari satu segi, ialah loghat bahasa Melayu juga, tetapi oleh sebab faktor politik maka kedua-dua bahasa tersebut mempunyai kedudukan tersendiri. Oleh itu, walau apa jua bahasa yang dituturkan oleh kita sekalipun, perkara yang lebih penting ialah bersopan apabila kita berkomunikasi dengan orang lain. Seharusnya, kita berbangga dengan variasi bahasa yang kita miliki di bumi Malaysia tercinta ini. Sekian..

*Sumber:

Nik Safiah Karim, Farid M. Onn, Hashim Haji Musa & Abdul Hamid Mahmood (2011).
         Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.





Wednesday, 26 September 2012

Melentur Buluh Biarlah dari Rebungnya


Assalammualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada pembaca sekalian. Semoga anda berada dalam keadaan sihat selalu. Pada kali ini saya ingin membicarakan tentang apa yang disebut dalam pepatah Melayu, iaitu melentur buluh biarlah dari rebungnya. Idea ini saya dapat ketika sibuk melayari video klip di laman You Tube dengan tidak sengaja terlihat satu klip video ini. Mari kita sama-sama saksikannya terlebih dahulu.




          Baiklah, apa pandangan anda semua apabila menyaksikan klip video ini? Jika ditanya kembali soalan itu kepada saya, mudah sahaja jawapan saya, iaitu sudah semestinya ini merupakan satu program atau tindakan yang baik dalam mendidik anak-anak kita membaca dan menulis dari peringkat awal. Program ini telah diberi nama Program LINUS atau nama penuhnya Instrumen Literasi Menulis dan Membaca. Pendekatan yang digunakan adalah dengan menggunakan poster dan kad-kad imbasan yang mempunyai pelbagai suku kata, perkataan penuh dan ayat-ayat yang mudah untuk dibina. Program ini telah dijalankan diperingkat sekolah rendah, iaitu bermula dari Tahun 1. Terdapat peringkat-peringkat yang telah disediakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dalam menjalankan program ini. Namun, dalam ruangan ini saya tidak akan menyentuh tentang bab itu kerana saya hanya akan memfokuskan kepada klip video yang dipaparkan di atas dan faedahnya.

          Pertamanya, saya boleh katakan bahawa program ini boleh dimulakan lebih awal tanpa menunggu anak-anak kita memasuki Pra-sekolah atau Tahun 1. Bagaimanakah caranya? Mudah sahaja, bagi para ibu yang mempunyai anak-anak yang masih kecil boleh mengajar anak-anak mereka sendiri di rumah terlebih dahulu. Hal ini tidak sukar untuk dijalankan kerana perkataan-perkataan yang dipaparkan telah disediakan suku katanya dan turut disertakan dengan gambar sebagai rujukan. Saya percaya bahawa anak-anak yang masih kecil pasti mudah untuk menangkap apa yang diajarkan kepada mereka. Tidak mengapa sekiranya anak-anak tersebut hanya mengenali sesuatu perkataan tersebut disebabkan oleh gambar bukannya dari mengeja suku kata yang disediakan. Namun, sekurang-kurangnya kita telah melatih anak-anak kita untuk mengungkap sesuatu perkataan itu dengan betul walaupun dia belum tahu membaca.

          Bagi guru-guru di sekolah pula, instrumen yang disediakan sangat memudahkan kerja guru dalam menjalankan aktiviti pengajaran di sekolah. Hal ini disebabkan suku kata yang dipaparkan menggunakan dua warna yang berbeza. Sebagai contoh perkataan 'Mata', menggunakan dua warna berbeza seperti berikut (Mata). Selain itu juga, tahap yang berbeza telah disediakan mengikut kemampuan para pelajar itu sendiri seperti bermula dengan keupayaan membaca dan menulis huruf vokal dan konsonan, kemudian keupayaan membaca dan menulis ayat mudah, seterusnya mempunyai keupayaan membaca, memahami dan menulis ayat berdasarkan bahan rangsangan, iaitu mengikut konstruk 10, 11 dan 12. Berdasarkan pemerhatian saya, pengajaran seperti ini akan dapat menarik minat pelajar untuk membaca disebabkan oleh keadaan poster dan kad imbasan itu sendiri yang turut dilengkapi dengan gambar-gambar menarik. Oleh itu, apabila keadaan ini terjadi nescaya mudah untuk kita melatih pelajar-pelajar tersebut membaca dan menulis dari peringkat yang lebih awal supaya mereka tidak menjadi pelajar yang lambat menguasai ilmu membaca dan menulis. Seterusnya, penguasaan berbahasa mereka juga akan dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa mengikut tahap kematangan mereka.

          Sekian sahaja coretan bagi ruangan pada kali ini, semoga dengan apa yang dibincangkan dapat memberi sedikit panduan kepada para ibu bapa dan guru dalam memudahkan pengajaran ilmu membaca dan menulis kepada anak-anak dan para pelajar sekalian. Sekian..

       








Retorik Politik Pemimpinku


Assalammualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada pembaca sekalian. Semoga kalian berada dalam keadaan sihat hendaknya. Baiklah, pada kali ini saya ingin berbicara tentang satu tajuk yang boleh dianggap menarik, iaitu Retorik Politik Pemimpinku. Pada anggapan saya tajuk ini sangat sesuai dibincangkan ketika ini, di saat kehangatan proses Pilihan Raya Kampus (PRK) yang baru sahaja tamat dalam beberapa jam yang lepas. Saya memilih tajuk ini kerana terdapat perkaitan situasi dengan haluan penulisan blog ini. Pada kali ini fokus akan diberikan kepada penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan calon yang bertanding.

          Sebelum saya pergi lebih jauh, baik kiranya saya jelaskan sedikit tentang maksud retorik. Retorik merupakan istilah yang secara tradisional diberikan pada cara pemakaian bahasa sebagai seni yang didasarkan pada pengetahuan yang tersusun baik (Gorys Keraf, 1981:1). Dalam A Greek-English Lexicon, (Liddell, 1953), menjelaskan istilah rhetoric berasal daripada bahasa Greek purba, iaitu rhetorike (tekhne) yang biasanya diterjemahkan sebagai the rhetorical art atau art of rhetoric. Rhetoric techne juga boleh membawa maksud seni berpidato. Corax pula mendefinisikan retorik sebagai, the artificer or persuasion, iaitu bidang kajian tentang pemujukan (Abu Hassan Abdul & Mohd Rashid Md Idris, 2010:1). Secara umumnya, dapatlah difahami bahawa retorik merupakan seni pemakaian bahasa yang digunakan untuk memujuk dan meyakinkan khalayak yang mendengarnya.

          Oleh itu, dalam beberapa hari yang lepas kita boleh mendengar para calon yang bertanding mengeluarkan pelbagai manifesto masing-masing dengan satu tujuan untuk menarik rakan mahasiswa/ mahasiswi untuk mengundi mereka. Saya rasa situasi ini bukan sahaja berlaku di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tempat saya menuntut ilmu sekarang ini. Bahkan universiti-universiti lain yang ada di negara ini turut merasai situasi yang sama. Namun, untuk penulisan ini saya hanya ingin berbicara dalam konteks retorik yang digunakan oleh calon-calon yang bertanding di UPSI sahaja. Alhamdulillah, dari apa yang saya dengar calon-calon yang bertanding menggunakan bahasa Melayu dalam menyampaikan manifesto masing-masing. Para calon juga ternyata mempunyai tahap penguasaan bahasa Melayu yang baik. Kemungkinan perkara ini disokong oleh latar belakang pendidikan calon yang baik. Saya kira situasi ini merupakan satu situasi yang menyenangkan kerana sebagaimana yang kita tahu, mahasiswa/ mahasiswi merupakan aset negara dan juga tonggak negara pada masa akan datang. Sekiranya mahasiswa/ mahasiswi pada hari ini mempunyai tahap penguasaan bahasa Melayu yang baik, nescaya masih ada sinar yang boleh diharapkan dalam usaha memartabatkan kembali penggunaan bahasa Melayu dalam pelbagai bidang utama di negara ini.

          Saya kira cukup dahulu penulisan saya untuk kali ini, sekiranya terdapat sebarang pandangan dan pendapat boleh dikongsikan diruangan komen. Sebelum saya mengundur diri, saya ada masukkan video antara calon-calon yang bertanding di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada kali ini sebagai halwa mata pembaca sekalian. Sekian..










Monday, 24 September 2012

Salam Perkenalan


Assalammualaikum dan salam perkenalan saya ucapkan kepada pembaca sekalian. Maaf dipinta sekiranya halaman blog yang saya kendalikan ini kurang memuaskan kerana saya pertama kali mencuba menghasilkan blog seperti ini. Insya-ALLAH, halaman blog ini akan saya berikan pembaharuan dari semasa ke semasa. Salam perkenalan sudah saya berikan, molek kiranya saya terangkan pula serba sedikit kepada kalian tentang latar belakang blog ini. Halaman blog ini diwujudkan sebagai salah satu daripada tuntutan tugasan individu dari kursus yang saya ambil pada semester ini, iaitu kursus Sosiolinguistik Melayu (BML3073). Pensyarah bagi kursus ini ialah Dr. Siti Saniah binti Abu Bakar, merupakan salah seorang pensyarah dari Fakulti Bahasa dan Komunikasi di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Beliau telah meminta para pelajar bagi kursus ini untuk menghasilkan satu blog setiap seorang sebagai tugasan individu masing-masing.

          Seterusnya, blog ini akan membicarakan setiap perkara yang berkaitan dengan penggunaan bahasa rasmi negara kita, iaitu bahasa Melayu. Penekanan akan diberikan kepada gaya penggunaan bahasa yang betul, kesalahan penggunaan istilah, panggilan gelaran, bahasa rojak dan sebagainya yang sering berlaku pada zaman ini. Oleh itu, saya telah memilih tajuk EPISOD PEMODENAN DAN PEMINGGIRAN BAHASAKU yang saya kira sesuai dengan situasi semasa ketika ini. Jika kita sedar penggunaan bahasa Melayu semakin hari semakin dipinggirkan oleh masyarakat kita sendiri. Hal ini terjadi seiring dengan kemajuan dan pemodenan yang kita kecapi hari ini, seolah-olah bahasa Melayu itu seperti sudah tidak releven lagi dalam mengejar apa yang kita katakan sebagai pemodenan.

          Saya kira cukup dahulu serba sedikit pengenalan yang ingin saya tonjolkan untuk blog ini sebagai panduan kecil kepada pembaca sekalian tentang haluan penulisan blog saya ini. Insya-ALLAH, banyak lagi perkara yang akan dikongsi dan dikupas pada masa akan datang dalam satu tujuan untuk memartabatkan kembali bahasa Melayu di negara Malaysia yang tercinta ini. Sekian..