Friday, 19 October 2012

Tradisional, Sinonim, Antonim


Assalammualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan buat pembaca ruangan blog sekalian. Pada kali ini, saya akan membincangkan satu tajuk yang menarik, iaitu Tradisional, Sinonim, Antonim. Dalam bahasa Melayu pengkajian makna perkataan boleh dilakukan dengan melihat makna perkataan secara sinonim atau antonim. Sinonim menurut Kamus Linguistik (1997:204) merupakan dua kata atau lebih yang mempunyai makna yang sama atau hampir sama dalam sesuatu bahasa. Sebagai contohnya, kata perempuan dalam bahasa Melayu boleh disamakan maksudnya dengan wanita. Contoh perkataan lain ialah kain (sarung) dan ibu (emak). 

          Menurut Kamus Dewan (1998), kata ibu dapat dijelaskan sebagai orang yang melahirkan kita, manakala kata emak dapat diterangkan sebagai orang yang melahirkan seseorang. Berdasarkan kedua-dua kata tersebut dapat disinonimkan yakni kata ibu dapat disinonimkan dengan kata emak dan begitulah sebaliknya. Walau bagaimanapun, terdapat kekecualian yakni tidak semua kata-kata bersinonim ini sesuai digunakan dalam ayat. Ini kerana walaupun kata sinonim membawa maksud yang sama, namun penggunaannya banyak bergantung kepada jenis dan konteks ayat-ayat yang dibina. Contoh ayat:

a) Emak Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur terletak di Jalan Hang Tuah.


           Oleh sebab itu, sekiranya digantikan kata emak dengan ibu, ayat berikut pastinya dapat diterima dan gramatis.


b) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur terletak di Jalan Hang Tuah.




          Berdasarkan contoh ayat tersebut, kata emak tidak sesuai digunakan kerana akan berlaku kesalahan makna apabila dibaca, ditulis atau dituturkan. Oleh yang demikian, tidak semua kata-kata yang bersinonim boleh bertukar ganti dalam pembinaan sesuatu ayat. Ia sebenarnya banyak bergantung kepada makna yang ingin disampaikan dalam sesuatu ayat tersebut. Begitulah uniknya bahasa Melayu kita ini. Sekian..






Istilah 'dengan izin'


Assalammualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan buat semua pembaca ruangan blog sekalian. Pada kali ini, saya akan membicarakan serba sedikit tentang pandangan yang telah diutarakan oleh Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim, iaitu berkaitan dengan penggunaan istilah 'dengan izin' sebelum menuturkan sesuatu perkataan dalam bahasa Inggeris. Beliau menyuarakan pandangan tersebut semasa membentangkan kertas kerja beliau di Persidangan Antarabangsa Memartabatkan Bahasa Melayu sempena Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Perak 2012 yang telah berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak.

          Mengulas lanjut tentang pandangan beliau, beliau memberikan contoh situasi yang berlaku di persidangan Dewan Rakyat. Beliau mengatakan bahawa kebanyakan daripada wakil rakyat yang berucap di Parlimen kerap menggunakan istilah 'dengan izin' sebelum bercakap dalam bahasa Inggeris. Namun, apa yang mengecewakan, wakil-wakil rakyat ini terlalu kerap menggunakan istilah 'dengan izin'. Hal ini seolah-olah mereka menggunakan istilah ini untuk tujuan bercakap dalam bahasa Inggeris kerana bahasa rasmi yang digunakan di Dewan Rakyat ialah bahasa Melayu. Jadi, untuk menutup kelemahan mereka dalam berbahasa Melayu, mereka telah menggunakan istilah 'dengan izin' sebagai pelindungnya.

          Pada pendapat saya, apa yang diperkatakan oleh beliau ini sememangnya ada rasionalnya. Jika anda pernah menonton siaran langsung persidangan Dewan Rakyat, pasti anda akan perasan tentang situasi ini. Saya juga menyokong seruan beliau agar persidangan Dewan Rakyat ini tidak disiarkan secara langsung di televisyen kerana hal ini akan mempengaruhi anak muda di negara ini apabila menontonnya. Oleh itu, sebagai seorang wakil rakyat yang bernama pemimpin harusnya sedar tentang perkara ini kerana anda merupakan contoh kepada pengikut anda. Sekian..




Thursday, 18 October 2012

Senyuman (Bahasa Tubuh)



Assalammualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan buat pembaca ruangan blog sekalian. Pada kali ini, saya akan membincangkan satu tajuk yang masih lagi dalam konteks berbahasa tetapi bukan secara lisan, sebaliknya melalui bahasa tubuh, iaitu senyuman. Saya tertarik untuk bercakap tentang hal ini kerana saya lihat masyarakat di luar kebanyakannya agar sukar untuk memberikan seukir senyuman di bibir mereka. Sebagai contoh, semasa saya hendak menghadiri kuliah pada pagi tadi. Saya berjumpa dengan ramai manusia yang sukar mengukirkan senyuman di wajah mereka. Bermula dengan wajah masam pengawal keselamatan di pintu utama kampus, kemudian wajah mengantuk pelajar-pelajar yang hendak ke bilik kuliah dan apabila sampai di dalam kelas situasinya tetap sama. Namun, masih ada yang bermurah hati untuk memberikan senyuman mereka kepada manusia lain. Alhamdulillah.

          Pada pendapat saya, senyuman merupakan bahasa tubuh yang paling mudah untuk kita lakukan. Melalui senyuman kita akan memberikan isyarat kepada ribuan manusia yang lain bahawa kita seorang yang mesra, mudah didekati, gembira dan senang hati walaupun hakikat sebenarnya menunjukkan perasaan yang sebaliknya. Bagi manusia lain yang melihatnya pula, pasti perasaan tenang dan gembira akan dapat mereka rasakan. Jika kita perhatikan kepada lirik lagu di atas, antara kata-katanya ialah senyuman tanda mesra, senyuman tanda sayang, senyuman sedekah yang paling mudah dan senyum di waktu susah tanda ketabahan serta keimanan.

          Oleh itu, janganlah kita berasa kedekut dalam memberikan senyuman kepada orang lain. Walau apa pun dugaan yang kita terima, Insya-Allah dengan senyuman nescaya masalah itu akan dapat diselesaikan sedikit demi sedikit. Jadi gunakanlah bahasa tubuh yang mudah ini untuk mengembirakan hati sendiri dan secara tidak langsung menyejukkan mata manusia lain yang melihat kita. Sekian..




Wednesday, 17 October 2012

Bahasa Anak Kecil



Assalammualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan buat pembaca ruangan blog sekalian. Pada kali ini, saya akan membicarakan tentang tajuk Bahasa Anak Kecil. Dalam mencari-cari idea untuk membuat entri baharu, saya terlihat satu klip video anak-anak kecil yang sedang menyanyikan koleksi lagu kanak-kanak berserta dengan tarian yang sangat mencuit hati. Saya tidak pasti lokasi klip video ini dirakamkan, namun dari apa yang saya lihat klip video ini merupakan rakaman dari murid-murid pra-sekolah. Jika anda perhatikan murid-murid ini membuat satu persembahan yang pada saya sesuatu yang menarik dan menghiburkan.

         Pada pendapat saya, ucapan taniah harus diberikan kepada tenaga pengajar yang melatih murid-murid ini kerana bijak dalam membentuk dan mencungkil kreativiti murid-muridnya. Aktiviti seperti inilah yang kita harapkan apabila menghantar anak-anak kita ke pra-sekolah. Melalui aktiviti seperti ini, anak-anak kecil ini akan belajar cara untuk berfikir, berkomunikasi, bergerak, menghafal dan sebagainya. Seterusnya, dapat membina keyakinan dalam diri mereka untuk berhadapan dengan orang ramai. Saya kira penerapan ilmu seperti ini selain daripada aktiviti biasa dalam kelas, dapat mewujudkan perasaan ingin mencuba dalam diri murid-murid ini dan memberikan pengalaman yang berguna kepada mereka.

        Selain itu, melalui nyanyian seperti ini juga secara tidak langsung kita sudah mengajar anak-anak kecil ini tentang penguasaan berbahasa. Melalui cara ini murid-murid tersebut akan berkomunikasi dengan lebih kerap untuk berbincang, berlatih, bermain, menghafal dan sebagainya. Hal ini merupakan suatu perkara yang positif dalam usaha kita untuk menggalakkan anak-anak kecil ini untuk berbahasa dengan betul. Seterusnya, diharapkan penguasaan berbahasa mereka akan terus meningkat mengikut tahap usia dan pembelajaran mereka kelak. Sekian.. 




Tuesday, 16 October 2012

Persidangan Antarabangsa Memartabatkan Bahasa Melayu


Assalammualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan buat pembaca ruangan blog sekalian. Semoga anda semua berada dalam keadaan sihat hendaknya. Pada kali ini, saya akan membincangkan tentang situasi sekitar Persidangan Antarabangsa Memartabatkan Bahasa Melayu sempena Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Perak 2012. Persidangan yang berlangsung selama dua hari ini, iaitu bermula dari 15 - 16 Oktober 2012, telah diadakan di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak. Persidangan ini bukan sahaja melibatkan pembentang-pembentang kertas kerja dari dalam negara, bahkan turut disertai oleh pembentang-pembentang dari negara luar seperti dari Singapura, Indonesia dan Selatan Thailand.

          Pada pendapat saya, persidangan seperti ini sangat bersesuaian diadakan atau dianjurkan dengan lebih kerap dalam memberikan pendedahan kepada kita tentang keadaan semasa bahasa Melayu pada waktu ini. Selain dapat bertukar-tukar maklumat sesama bangsa Melayu, persidangan sebegini juga dapat mengeratkan hubungan persahabatan. Di samping itu, persidangan seperti ini dapat memberikan kesan positif kepada golongan muda terutamanya mahasiswa dan mahasiswi supaya sayang akan bahasa ibunda sendiri dan seterusnya dapat menanamkan sifat patriotik terhadap bahasa Melayu dalam diri mereka.

          Namun, sedikit mengecewakan saya ialah sambutan yang diberikan oleh pihak kementerian kurang memberangsangkan. Sekiranya diperhatikan sepanjang dua hari persidangan ini berlangsung, saya tidak lihat mana-mana wakil dari kementerian yang turut hadir dalam mendengar tentang permasalahan atau cadangan yang diberikan oleh ahli-ahli panel yang mengambil bahagian. Perkara ini dilihat sebagai suatu yang mengecewakan kerana bercakap sahaja tanpa mendapat bantuan atau sokongan dari pihak kementerian sememangnya sesuatu yang sukar untuk kita mengubah apa-apa dasar sekali pun. Diharapkan situasi seperti ini tidak akan berlaku lagi pada masa yang akan datang. Sekian..