Saturday, 13 October 2012

Bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia


Assalammualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada pembaca ruangan blog sekalian. Saya harap anda semua berada dalam keadaan sihat hendaknya. Pada kali ini, saya ingin membincangkan tentang tajuk Bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia. Saya kira tajuk ini sangat perlu dibincangkan dalam merungkaikan pemahaman pembaca yang selalu terkeliru sama ada menggunakan istilah bahasa Melayu atau bahasa Malaysia.

          Pada pendapat saya, saya sangat bersetuju dengan istilah bahasa Melayu dan menolak sepenuhnya bahasa Malaysia. Maaf sekiranya saya tidak perasan atau sedar tentang kewujudan bahasa Malaysia kerana setahu saya bahasa rasmi negara Malaysia ialah bahasa Melayu. Sekiranya terdapat orang cina, india atau lain-lain menuturkan bahasa tersebut, ianya tetap bahasa Melayu atas rasional bahasa Melayu merupakan hak milik orang Melayu yang menjadi penutur natif dan pemilik asal bahasa ini. 

         Saya memetik kata-kata yang diucapkan oleh Allahyarham Datuk Dr. Hassan Ahmad, beliau menjelaskan bahawa mengapa kita perlu menukar istilah bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia hanya kerana negara Malaysia terdiri daripada penduduk yang pelbagai bangsa. Sedangkan negara-negara lain di dunia seperti England dan Amerika yang menuturkan bahasa Inggeris tetap menggunakan istilah bahasa Inggeris. Negara-negara ini tidak pula menukar istilah tersebut kepada bahasa Amerika atau bahasa England sedangkan mereka telah lama mengalami transformasi yang sedang dibanggakan oleh rakyat Malaysia sekarang ini. Hal ini disebabkan mereka sedar bahawa bahasa Inggeris merupakan bahasa yang ditutur oleh bangsa Inggeris dan menjadi bahasa asal mereka. Saya anggap apa yang dikatakan oleh Allahyarham Datuk Dr. Hassan Ahmad sangat baik dan saya berpendapat bahawa beliau merupakan seorang manusia yang tidak takut kepada manusia. 

          Saya kira sudah jelas apa yang dirungkaikan ini, janganlah pembaca sekalian mempertikaikan tentang istilah bahasa Melayu ini kerana sememangnya pemilik asal bahasa Melayu ialah kita sendiri, iaitu bangsa Melayu. Sekian..




Friday, 12 October 2012

Ejaan Lama di Alaf Moden


Assalammualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan buat pembaca ruangan blog sekalian. Semoga kalian berada dalam keadaan sihat hendaknya. Pada kali ini, saya akan membicarakan tentang tajuk Ejaan Lama di Alaf Moden. Dalam tajuk kali ini saya akan memfokuskan kepada kesalahan ejaan yang terdapat pada papan tanda di premis-premis perniagaan. Antara kesalahan yang saya dapati ialah kesalahan menggunakan ejaan lama yang sudah dianggap tidak sesuai lagi. Berikut saya sertakan satu salinan gambar papan tanda premis perniagaan yang masih menggunakan ejaan lama:


          Gambar ini saya perolehi atau mengambilnya di Pekan Tanjung Malim. Pada pendapat saya, perkara ini tidak seharusnya terjadi terutamanya dalam zaman sekarang ini. Seharusnya, pemilik premis perniagaan ini sedar tentang kesalahan ejaan tersebut. Kemungkinan pemilik hanya memandang perkara ini sebagai suatu perkara yang kecil. Namun sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, pemilik seharusnya memandang perkara ini sebagai suatu yang perlu diambil tindakan. Saya kira tidak menjadi beban kepada pemilik sekiranya beliau memperbetulkan kesalahan ejaan tersebut kerana hanya memerlukan kos yang sedikit berbanding keuntungan yang diperolehi oleh beliau. Sekian..







Tuesday, 9 October 2012

Bahasa Ahli Dewanku



Assalammualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada pembaca sekalian. Semoga berada dalam keadaan sihat hendaknya. Pada kali ini, saya akan menyentuh mengenai tajuk Bahasa Ahli Dewanku. Sebelum pergi lebih jauh, terlebih dahulu saya memohon maaf sekiranya penulisan saya ini ada menyentuh sensitiviti mana-mana pihak. Saya cuma mahu bercakap dalam konteks bahasa dan memberikan contoh yang sesuai seperti dalam klip video di atas.

          Pada pandangan saya, seharusnya sebagai seorang pemimpin kepada rakyat yang menetap di negara Malaysia selama berpuluh tahun, sudah semestinya tiada masalah untuk menuturkan bahasa Melayu dengan sempurna. Sekiranya terdapat sedikit loghat dari bahasa sendiri, perkara itu masih boleh dimaafkan kerana kita faham bukan mudah untuk melatih lidah menjadi lembut. Namun, sekiranya tahap penguasaan bahasa Melayu itu berada pada tahap yang begitu lemah seperti dalam klip video di atas. Hal ini pastinya menimbulkan rasa kecewa kepada kita. Di mana letaknya semangat nasionalisme sekiranya bahasa Melayu yang menjadi bahasa rasmi negara dan digunakan dalam kehidupan seharian itu pun tidak dapat dikuasai dengan sepenuhnya.

          Sebagai seorang pemimpin yang menjadi contoh kepada pengikutnya, beliau haruslah memandang serius tentang masalah berbahasa ini. Sekiranya pemimpin itu sendiri tidak menggunakan bahasa Melayu dengan betul, bagaimana pula dengan bahasa pengikut-pengikutnya. Sudah semestinya mereka juga terpengaruh dengan keadaan itu. Sebagai pemimpin, beliau sepatutnya sedar bahawa beliau perlu memberikan contoh yang terbaik kepada pengikutnya dan perlu menanamkan sikap nasionalisme dalam diri mereka. Oleh itu, penggunaan bahasa Melayu yang betul penting dalam menunjukkan rasa cinta akan negara ini. Sekiranya, perkara sepenting ini tidak dapat dibuat dengan sempurna, nescaya sukarlah untuk kita dalam proses memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara ini. Sekian..

       








Sayembara Deklamasi Puisi



Assalammualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan buat pembaca ruangan blog sekalian. Baiklah, dalam beberapa jam yang lepas saya telah menghadiri satu pertandingan puisi antara pelajar-pelajar universiti, iaitu Sayembara Deklamasai Puisi Bulan Kemerdekaan ke-25. Pertandingan ini telah diadakan di Universiti Pendidikan Sultan Idris. Yang menarik minat saya untuk membicarakan tentang pertandingan ini adalah kerana inisiatif yang ditunjukkan oleh universiti-universiti dalam memelihara warisan bangsa Melayu ini.

          Pertandingan yang berlangsung selama satu hari ini telah menarik penyertaan daripada mahasiswa dan mahasiswi dari seluruh universiti di Malaysia. Pada pendapat saya, pertandingan seperti ini seharusnya diadakan dengan lebih giat lagi dalam usaha kita memperkenalkan warisan-warisan ini kepada anak-anak muda, terutamanya mahasiswa dan mahasiswi yang suatu hari nanti akan mengambil alih tampuk kepimpinan negara Malaysia kelak. Melalui pertandingan seperti ini, secara tidak langsung penguasaan berbahasa Melayu dalam kalangan pelajar dapat ditingkatkan. Walaupun mahasiswa dan mahasiswi yang bertanding datang dari pelbagai bidang kursus yang berbeza, namun mereka tetap tidak melupakan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda mereka.

          Johan pada pertandingan kali ini telah disandang oleh peserta dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan beliau seterusnya akan mewakili universiti ke peringkat kebangsaan. Gambar di atas pula merupakan peserta dari Universiti Pendidikan Sultan Idris yang berjaya mendapat tempat ketiga. Syabas diucapkan kepada pihak penganjur dan peserta-peserta yang mengambil bahagian sekalian. Semoga pertandingan seperti ini akan terus dianjurkan dari semasa ke semasa. Sekian..

Falsafah P. Ramlee



Assalammualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada pembaca ruangan blog sekalian. Semoga kalian sentiasa sihat hendaknya. Pada kali ini, saya akan membicarakan tentang tajuk Falsafah P. Ramlee. Pasti pembaca sekalian sudah mendengar dan menonton klip video yang saya paparkan di atas. Dalam klip video tersebut Allahyarham Tan Sri P. Ramlee atau nama sebenar beliau Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh ada menyuarakan pandangan beliau tentang generasi yang akan datang. Beliau bercakap dalam konteks muzik, beliau menjelaskan bahawa muzik tradisional perlu diajar dari peringkat awal supaya apabila dewasa perkara tersebut telah tertanam dalam jiwa mereka. Lebih penting lagi, beliau memfokuskan kepada muzik-muzik yang menjadi hak milik orang-orang Melayu seperti dondang sayang, ghazal, seloka dan sebagainya. Sekiranya pembaca ingin mengetahui dan mendengar lebih lanjut tentang apa yang diperkatakan oleh beliau, boleh melayari laman berikut http://www.youtube.com/watch?v=P4ptBPg4d14 (minit keenam). Beliau menjelaskan sekiranya perkara ini tidak dipandang serius, nescaya dalam tempoh 10 atau 20 tahun akan datang muzik-muzik dari luar akan masuk ke negara ini dan memberi pengaruh yang kuat kepada anak remaja kita.

          Jadi, betullah apa yang disangkakan oleh beliau. Sekiranya kita melihat kepada genre muzik yang didendangkan oleh anak remaja kita pada hari ini hampir kesemuanya dipengaruhi oleh muzik-muzik luar, terutamanya Barat. Jika kita dengar, ada sesetengah lirik lagunya telah dicampuradukkan antara bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Terkadang, sampai pendengar sendiri tidak faham apa sebenarnya yang ingin mereka sampaikan dalam karya yang mereka hasilkan. Lebih parah lagi apabila gaya berpakaian artis-artis dari luar ini turut menjadi ikutan kepada anak-anak muda hari ini. Begitulah kuatnya pengaruh yang mereka bawa untuk menjajah pemikiran anak muda di Malaysia pada hari ini. Hal ini sudah seperti boleh diagak oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee apabila beliau mengulas tentang perkara ini semasa hayatnya. Sedarlah wahai artis-artis sekalian, apa salahnya menjadikan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sebagai idola dalam menghasilkan karya-karya anda. Lihatlah, walaupun beliau menggunakan bahasa Melayu sebagai medium utama, namun lagu-lagu beliau tetap didengar sehingga ke hari ini. Beliau berbahasa Melayu bukan bermakna beliau tidak menguasai bahasa lain, beliau juga fasih berbahasa Inggeris. Namun, semangat dan cinta akan bahasa Melayu yang mungkin menyebabkan beliau menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam setiap karya yang dihasilkan oleh beliau. Jika beliau boleh melakukan sebegitu dan boleh berjaya, kita juga pasti boleh bukan? 

          Sebelum berpisah saya sertakan antara lagu daripada artis Melayu yang telah dijajah oleh pengaruh luar. Saksikanlah video klip berikut. Sekian..