Assalammualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada pembaca ruangan blog sekalian. Saya harap anda semua berada dalam keadaan sihat hendaknya. Pada kali ini, saya ingin membincangkan tentang tajuk Bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia. Saya kira tajuk ini sangat perlu dibincangkan dalam merungkaikan pemahaman pembaca yang selalu terkeliru sama ada menggunakan istilah bahasa Melayu atau bahasa Malaysia.
Pada pendapat saya, saya sangat bersetuju dengan istilah bahasa Melayu dan menolak sepenuhnya bahasa Malaysia. Maaf sekiranya saya tidak perasan atau sedar tentang kewujudan bahasa Malaysia kerana setahu saya bahasa rasmi negara Malaysia ialah bahasa Melayu. Sekiranya terdapat orang cina, india atau lain-lain menuturkan bahasa tersebut, ianya tetap bahasa Melayu atas rasional bahasa Melayu merupakan hak milik orang Melayu yang menjadi penutur natif dan pemilik asal bahasa ini.
Saya memetik kata-kata yang diucapkan oleh Allahyarham Datuk Dr. Hassan Ahmad, beliau menjelaskan bahawa mengapa kita perlu menukar istilah bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia hanya kerana negara Malaysia terdiri daripada penduduk yang pelbagai bangsa. Sedangkan negara-negara lain di dunia seperti England dan Amerika yang menuturkan bahasa Inggeris tetap menggunakan istilah bahasa Inggeris. Negara-negara ini tidak pula menukar istilah tersebut kepada bahasa Amerika atau bahasa England sedangkan mereka telah lama mengalami transformasi yang sedang dibanggakan oleh rakyat Malaysia sekarang ini. Hal ini disebabkan mereka sedar bahawa bahasa Inggeris merupakan bahasa yang ditutur oleh bangsa Inggeris dan menjadi bahasa asal mereka. Saya anggap apa yang dikatakan oleh Allahyarham Datuk Dr. Hassan Ahmad sangat baik dan saya berpendapat bahawa beliau merupakan seorang manusia yang tidak takut kepada manusia.
Saya kira sudah jelas apa yang dirungkaikan ini, janganlah pembaca sekalian mempertikaikan tentang istilah bahasa Melayu ini kerana sememangnya pemilik asal bahasa Melayu ialah kita sendiri, iaitu bangsa Melayu. Sekian..
No comments:
Post a Comment