Friday, 5 October 2012

Malar Segar (Filem oh Filem)






Assalammualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada pembaca sekalian. Semoga berada dalam keadaan sihat hendaknya. Pada kali ini, saya akan membincangkan tentang tajuk Malar Segar (Filem oh Filem). Saya pasti anda semua telah menonton dua klip video yang saya paparkan di atas. Pasti anda tertanya-tanya, apakah kaitan antara kedua-dua filem tersebut? Baiklah, kaitan yang saya cuba tonjolkan ialah penggunaan bahasa dalam kedua-dua filem tersebut. Filem ini dihasilkan dalam dua zaman yang berbeza, iaitu zaman dahulu dan sekarang. Lihatlah, begitu ketara sekali perbezaan bahasa yang digunakan antara dua filem ini. Sebelum pergi lebih jauh, terlebih dahulu saya memohon maaf sekiranya ada sesiapa yang terasa tentang perkara ini. Saya hanya ingin bercakap dalam konteks bahasa, iaitu penggunaan bahasa Melayu dalam filem Melayu.

          Jika anda perhatikan kepada klip video satu, iaitu dipetik daripada filem Seniman Bujang Lapok karya Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, jelas kepada kita bahawa karya ini menggunakan bahasa Melayu pada keseluruhan jalan ceritanya dan sememangnya menggunakan longhat bahasa Melayu yang sebenar. Jalan ceritanya juga hampir sama dengan kebanyakan jalan cerita drama atau filem pada hari ini, iaitu melibatkan watak protagonis dan antagonis. Walaupun terdapat watak antagonis, bahasa yang digunakan tetap menggunakan bahasa Melayu seperti watak Sarip Dol Samseng Kampung Dusun dalam filem tersebut. Mendengar namanya sahaja pun kita sudah mengetahui bahawa beliau memainkan watak sebagai seorang samseng. Namun, jalan cerita yang hendak disampaikan tetap mudah diterima oleh khalayak yang menyaksikannya. Mungkin itulah kelebihan pengarah, penulis skrip dan pelakon pada zaman dahulu yang kaya dengan bakat semula jadi mereka berbanding dengan zaman sekarang. Biarpun menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya, watak yang dilakonkan tetap nampak hidup, menyeronokkan untuk ditonton dan terdapat pelbagai pengajaran yang boleh diambil seperti menghormati orang lain, kehidupan berjiran, erti sahabat sejati dan sebagainya. Saya kira sebab itulah, karya-karya Allahyarham Tan Sri P. Ramlee boleh diterima ramai hingga ke hari ini. Malah menjadi malar segar, biarpun ditonton berulang kali perasaan bosan tidak pernah terasa.

          Sebaliknya, jika kita perhatikan kepada perkembangan industri perfileman negara kita pada masa ini, kebanyakan pengarah, penulis skrip dan pelakon galak menggunakan bahasa yang bercampuran di antara bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Lebih membimbangkan apabila pelakon menggunakan longhat seperti orang cina. Alasannya, mungkin hendak menghayati sebenar-benarnya watak sebagai seorang samseng seperti dalam klip video di atas. Kemungkinan juga longhat ini diambil kerana ingin meniru filem-filem samseng dari negara luar. Persoalannya, apakah pengajaran yang penonton akan dapat apabila menonton filem sebegini? Sebagai pengarah, penulis skrip dan pelakon mereka haruslah sedar bahawa filem yang mereka hasilkan akan ditonton oleh setiap lapisan masyarakat. Sekiranya filem sebegini ditonton oleh golongan ambang remaja, nescaya akan menjadi ikutan kepada mereka. Sudah menjadi resam remaja suka mencuba sesuatu yang baru bagi mereka. Mahukah kita mendengar anak-anak muda, adik-adik kita sendiri menggunakan bahasa yang kasar seperti ini? Jawapannya pasti tidak bukan. Oleh itu, sebagai pengarah, penulis skrip dan pelakon janganlah hanya memikirkan keuntungan semata-mata. Seharusnya, anda semua sedar bahawa penggunaan bahasa Melayu yang betul dalam jalan cerita juga boleh menarik khalayak untuk menonton. Bahkan, anda juga akan menjadi antara kelompok yang menyumbang kepada proses memartabatkan penggunaan bahasa Melayu di negara ini. Sekian..










Keperluan Kontekstual





Assalammualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada pembaca sekalian. Semoga kalian semua berada dalam keadaan sihat selalu. Baiklah, pada ruangan kali ini saya akan bercakap tentang tajuk Keperluan Kontekstual. Sebenarnya, konsep ini saya baru sahaja belajar pada pagi tadi, iaitu semasa menghadiri kelas untuk kursus Semantik dan Pragmatik Bahasa Melayu. Saya kira perkara ini perlu dikongsikan bersama dengan pembaca sekalian supaya kita tahu untuk bercakap sesuatu mengikut situasi yang tertentu.

          Menurut Abdullah Yusof et al. (2009: 4), kontekstual adalah makna sebuah leksem atau kata yang berada di dalam suatu konteks. Contohnya, makna konteks kata 'kepala' pada kalimat-kalimat berikut:

          a. Rambut di kepala nenek belum ada yang putih.
          b. Nombor telefonnya ada pada kepala surat itu.
          c. Kepala paku dan kepala jarum tidak sama bentuknya.

          Makna konteks boleh juga berkenaan dengan situasinya, iaitu tempat, waktu dan lingkungan penggunaan bahasa itu. Contohnya:

          "Tiga kali empat berapa?"

          Jika soalan tersebut dilontarkan kepada pelajar darjah tiga semasa mata pelajaran Matematik berlangsung, tentu akan dijawab dua belas. Namun, jika soalan yang sama diajukan kepada jurugambar, maka pertanyaan itu mungkin akan dijawab dua ratus atau tiga ratus. Mengapa demikian? Hal ini adalah kerana pertanyaan itu merujuk kepada kos untuk gambar foto yang berukuran tiga kali empat sentimeter.

          Oleh itu, sebagai penutur kita perlu mengetahui dengan siapa kita sedang menutur. Hal ini sangat penting dalam mewujudkan komunikasi yang berkesan antara dua pihak dan mengelakkan berlakunya sebarang konflik akibat kesalahan isi yang kita tuturkan. Sebagai contoh, gambar di atas memaparkan seorang guru yang sedang mengajar di dalam kelas tetapi memakai pakaian seorang doktor. Hal ini tidak bersesuaian dengan situasi, sebagai guru seharusnya beliau mengenakan pakaian yang sesuai untuk seorang guru, agar dapat menarik minat pelajarnya untuk memberikan perhatian.

           Semasa kuliah sedang berlangsung, pensyarah saya bagi kursus Sematik dan Pragmatik Bahasa Melayu, iaitu En. Abdullah Yusof ada menceritakan tentang pengalaman beliau semasa menghadiri seminar di Korea Selatan. Beliau mengatakan bahawa terdapat begitu ramai pelajar dari Korea berminat untuk menyambung pelajaran ke negara Indonesia bagi mengambil kursus bahasa Melayu. Namun yang menjadi persoalan, mengapakah pelajar-pelajar dari negara Korea ini tidak mahu menyambung pelajaran ke Malaysia, sedangkan kita juga merupakan sebuah negara yang menuturkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi? Jawapannya, pelajar Korea ini lebih berminat untuk ke negara Indonesia kerana semangat cinta akan bahasa di sana lebih tebal berbanding di Malaysia. Buktinya, apabila mereka datang ke Indonesia, mereka akan disambut dengan bahasa Melayu Indonesia. Sebaliknya, jika mereka datang ke Malaysia, mereka akan disambut dengan bahasa Inggeris atas alasan bahasa Inggeris merupakan bahasa 'universal'.

          Bukankah ini merupakan satu kerugian buat negara kita sendiri. Rasanya, itulah akibatnya jika bangsa kita sendiri menjadi lupa diri apabila hidup di alam pemodenan ini. Kesimpulannya, setiap apa yang kita hendak tuturkan perlulah sesuai dengan kontekstualnya. Semoga kisah yang diceritakan oleh pensyarah saya ini menjadi pengajaran berguna kepada kita, betapa ruginya ekonomi kita akibat sifat bodoh sombong kita sendiri. Sedarlah wahai pemimpin-pemimpinku. Sekian..


*Rujukan:

Abdullah Yusof, Alias Mohd Yatim & Mohd Ra'in Shaari (2009). Semantik dan Pragmatik 
       bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn. Bhd. 







Tuesday, 2 October 2012

Khilaf


Assalammualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan buat pembaca ruangan penulisan blog saya ini. Saya berharap anda semua berada dalam keadaan sihat selalu. Pada kali ini, saya akan membincangkan tentang penggunaan bahasa Inggeris pada papan tanda di negara kita. Lokasi yang saya pilih cuma berdekatan dengan tempat tinggal saya, iaitu di Proton City, Tanjung Malim. 


           Nama tempat ini pun telah diletakkan dalam bahasa Inggeris, apa salahnya menggunakan sahaja nama 'Bandar Proton'. Lebih sesuai bukan? Kemungkinan pihak yang bertanggungjawab meletakkan nama tempat ini dalam bahasa Inggeris bertujuan untuk menunjukkan kemajuan di tempat tersebut. Persoalannya, mengapa ada sesetengah papan tandanya menggunakan bahasa Melayu dan ada pula yang menggunakan bahasa Inggeris. Jika mahu menunjukkan kemegahannya sekalipun, gunakanlah bahasa Inggeris pada keseluruhan papan tanda di Proton City ini. Tidak perlulah menggunakan bahasa Melayu pada sesetengah tempat dan sesetengah tempat lagi menggunakan bahasa Inggeris seperti dalam gambar yang saya paparkan di bawah.


          Jika anda lihat pada gambar satu, papan tanda tersebut menggunakan bahasa Melayu manakala pada gambar dua, papan tandanya menggunakan bahasa Inggeris. Untuk pengetahuan anda semua, jarak kedudukan kedua-dua papan tanda ini hanya dipisahkan tidak sampai 100 meter. Tidak dinafikan, perkara ini bukanlah sesuatu yang serius sehingga boleh mendatangkan kemalangan atau sebaliknya. Namun, sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, pihak yang bertanggungjawab dalam menyediakan papan tanda ini seharusnya mengambil perhatian tentang perkara ini. Apalah salahnya sekiranya kita berbangga dengan bahasa yang kita miliki ini. Bukankah dengan menggunakan bahasa Melayu pada setiap papan tanda yang disediakan akan lebih mudah difahami dan sedap dipandang. 

          Saya memohon kepada pihak yang bertanggungjawab supaya tidak mengambil ringan tentang perkara ini kerana anda juga merupakan antara tunjang kuat yang dapat membantu dalam memartabatkan bahasa Melayu di bumi tercinta ini. Sekian..

















Monday, 1 October 2012

Pelik


Assalammualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada pembaca ruangan blog saya ini. Semoga sihat hendaknya. Tajuk yang saya pilih untuk kali ini ialah 'Pelik'. Mungkin anda semua juga berasa pelik apabila mendengar tajuk yang saya pilih pada kali ini. Pada hari Ahad yang lepas, saya dan kawan rapat saya telah ke Kuala Lumpur dengan tujuan untuk membeli External Hard Disk. Anda semua tahukan apa itu External Hard Disk? Ya, satu alat yang boleh menyimpan data dalam kuantiti yang besar. Jadi saya pun membeli satu External Hard Disk jenama Toshiba seperti dalam gambar di bawah.


          Alhamdulillah, dapat juga seperti yang saya impikan. Baiklah, berbalik semula kepada tajuk untuk kali ini, iaitu 'Pelik'. Ceritanya begini, saya membeli external ini dari seorang pekerja di kedai menjual gajet. Pekerja ini berbangsa asing tetapi bukanlah pendatang tanpa izin, sebaliknya masih warganegara Malaysia cuma bukan berbangsa Melayu. Kedai beliau ini terletak di pasaraya yang sememangnya terkenal dengan penjualan gajet di Kuala Lumpur. Ketika pertama kali saya sampai di kedainya, beliau sememangnya memberikan layanan yang istimewa kepada saya. Setiap apa yang saya soal pasti dijawabnya beserta dengan senyuman manis di pipi sebagai pelaris agaknya.

          Dari segi penggunaan bahasa Melayunya pula, saya kira boleh pada tahap yang membanggakan dengan statusnya sebagai bangsa asing itu. Kiranya, komunikasi antara kami terjalin dengan sangat mesra walaupun baru pertama kali berjumpa. Dipendekkan cerita, saya pun membeli external yang saya inginkan dan beliau pula mendapat ganjaran yang beliau inginkan.

          Selang beberapa minit kemudian, hanya dipisahkan dengan satu tingkat bangunan sahaja. Tiba-tiba, teringat bahawa saya terlupa membeli sarung untuk menyimpan external ini. Saya pun kembali semula ke kedai tersebut dengan mood yang ceria seperti saat meninggalkannya sebentar tadi. Sampai saja di kedai tersebut, saya pun berasa pelik, mana perginya keramahan dan kemesraan yang saya terima sebentar tadi. Sebaliknya, hanya layanan yang teruk diterima. Apabila tanya ada atau tidak menjual sarung untuk external ini? Jawapan yang diterima, TAK TAHU. Saya pun beritahu yang baru sebentar tadi saya membeli external tersebut di kedainya. Pelik lagi rasa di hati apabila beliau buat muka seperti tidak mengenali langsung. Bukannya saya hendak minta percuma tetapi saya mahu membeli sarung tersebut. PELIK... PELIK... Ada juga bangsa seperti ini.

         Seterusnya, saya pun pergilah ke kedai yang lain. Sekali lagi disambut dengan bangsa yang sama juga tetapi layanannya sememangnya hebat seperti di kedai bangsa yang pertama sebentar tadi juga gayanya. Seronok, cakap sahaja hendak yang mana, siap beliau yang sarungkan lagi. Kita cuma tunjuk sahaja mana yang kita mahu. PELIK... PELIK.. Memang pelik, mungkin jugalah sudah menjadi sifat bangsa seperti ini agaknya, hanya berpura-pura apabila ingin menarik minat pelanggannya. Namun biarkan sajalah, semoga bangsa sedarah dengan saya tidak mempunyai sikap dan sifat seperti bangsa ini.

          Saya kira cukup dahulu coretan untuk kali ini, semoga pengajaran yang saya kongsikan ini dapat menjadi panduan berguna kepada pembaca sekalian. Perkara yang lebih penting, dari apa yang saya lihat bangsa Melayu kita sememangnya masih yang terbaik di dunia berbanding bangsa-bangsa yang lain tidak kira dari apa segi sekali pun. Sekian..

Saat Hilang Semangat Perjuanganmu


Assalammualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan buat pembaca yang budiman sekalian. Semoga kalian sentiasa berada dalam keadaan sihat selalu. Bertemu kita sekali lagi dalam ruangan penulisan blog ini. Baiklah, pada penulisan kali ini saya ingin membawa pembaca sekalian mengenali seorang tokoh bahasa yang mempunyai semangat juang yang tinggi dalam mempertahankan kedudukan bahasa Melayu di bumi Malaysia ini. Insan yang saya maksudkan itu ialah Allahyarham Datuk Dr. Hassan Ahmad. Beliau merupakan antara tokoh bahasa yang kuat menentang dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang suatu ketika dahulu telah diperkenalkan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada tahun 2002 dan dilaksanakan pada tahun 2003. Berikut saya sertakan satu klip video kata-kata daripada Allahyarham Datuk Dr. Hassan Ahmad atas rasional penentangan beliau dan pejuang-pejuang bahasa yang lain terhadap isu PPSMI ini. Saksikanlah..




          Lihatlah betapa baiknya pemikiran yang dimiliki oleh beliau. Beliau memberikan contoh tentang negara-negara yang maju di dunia, walaupun menggunakan bahasa ibunda masing-masing dalam sistem pengajaran mereka tetapi negara-negara ini tetap berjaya melahirkan pakar-pakar dalam bidang sains dan  juga bidang-bidang lain. Hal ini sememangnya nyata, lihat sajalah negara-negara yang maju seperti Rusia, Jepun dan sebagainya yang begitu kuat mempertahankan bahasa ibunda mereka. Namun, apa yang berlaku di Malaysia menunjukkan satu situasi yang begitu berbeza. Seolah-olah apabila menggunakan bahasa Melayu, negara tidak akan maju dan tidak dapat melahirkan pelajar-pelajar yang hebat apabila memasuki alam pekerjaan kelak. Sedarlah wahai umat yang sebangsa denganku, walau dengan apa bahasa sekalipun yang kita guna, sekiranya ada kesungguhan dan bekerja keras nescaya Allah akan membalasnya dengan kejayaan.

          Seterusnya, kita lihat sedikit tentang latar belakang Allahyarham. Allahyarham Datuk Dr. Hassan Ahmad dilahirkan pada 8 Disember 1936 di Muar, Johor merupakan anak sulung daripada lapan beradik dan anak pegawai polis zaman British. Bersekolah di Sekolah Melayu Mersing (1942-1943), Sekolah Melayu Muar (1945-1948), Sekolah Tinggi Muar dan Maktab Melayu Kuala Kangsar (1957). Di Universiti Malaya beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera. Semasa di Universiti Malaya juga beliau merupakan Setiausaha Persatuan Bahasa Melayu (1960-1961) dan menjadi Presiden Persatuan Bahasa Melayu (1961-1962). Kenalan beliau memanggil beliau sebagai 'Penghulu' kerana suka membela orang Melayu. Antara rakan seuniversiti beliau ialah Ali Haji Ahmad dan Kassim Ahmad. Menyingkap pula sedikit ke alam pekerjaan beliau, beliau pernah menjawat jawatan sebagai Penolong Pegawai Daerah Pontian (1962) dan menjadi Pegawai Penyelidik di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mulai 1963 dan Ketua Pengarah DBP (1976).

          Beliau juga turut menyertai Perarakan Keranda Mac 2009 yang merupakan perarakan aktivis bahasa dan rakyat Malaysia yang antara lain mahu polisi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan. Perarakan yang disertai oleh 8,000 orang, bermula pada pukul 2.00 petang pada 7 Mac 2009 menuju ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum kepada Yang Dipertuan Agong. Perarakan ini dianjurkan oleh Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) dan disertai oleh Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said dan pengerusi GMP Datuk Dr. Hassan Ahmad serta barisan pemimpin politik seperti Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang. Untuk maklumat lanjut boleh layari laman web yang dinyatakan http://ms.wikipedia.org/wiki/Hassan_Ahmad

          Kesimpulannya, saya boleh nyatakan di sini bahawa perjuangan yang telah dijuangkan oleh Allahyarham Datuk Dr. Hassan Ahmad ini dan pejuang-pejuang bahasa yang lain bukanlah untuk kepentingan diri mereka sendiri, sebaliknya merupakan satu perjuang ikhlas dalam mempertahankan kedudukan bahasa Melayu di negara ini. Sepatutnya, semua orang Melayu harus mempunyai semangat yang sama seperti beliau juga. Ribuan terima kasih juga saya ucapkan kepada laman web http://ms.wikipedia.org/wiki/Hassan_Ahmad yang banyak memberi maklumat kepada saya dalam penulisan pada kali ini. Saya mohon diberikan kebenaran. Sekian..