Tuesday, 9 October 2012

Sayembara Deklamasi Puisi



Assalammualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan buat pembaca ruangan blog sekalian. Baiklah, dalam beberapa jam yang lepas saya telah menghadiri satu pertandingan puisi antara pelajar-pelajar universiti, iaitu Sayembara Deklamasai Puisi Bulan Kemerdekaan ke-25. Pertandingan ini telah diadakan di Universiti Pendidikan Sultan Idris. Yang menarik minat saya untuk membicarakan tentang pertandingan ini adalah kerana inisiatif yang ditunjukkan oleh universiti-universiti dalam memelihara warisan bangsa Melayu ini.

          Pertandingan yang berlangsung selama satu hari ini telah menarik penyertaan daripada mahasiswa dan mahasiswi dari seluruh universiti di Malaysia. Pada pendapat saya, pertandingan seperti ini seharusnya diadakan dengan lebih giat lagi dalam usaha kita memperkenalkan warisan-warisan ini kepada anak-anak muda, terutamanya mahasiswa dan mahasiswi yang suatu hari nanti akan mengambil alih tampuk kepimpinan negara Malaysia kelak. Melalui pertandingan seperti ini, secara tidak langsung penguasaan berbahasa Melayu dalam kalangan pelajar dapat ditingkatkan. Walaupun mahasiswa dan mahasiswi yang bertanding datang dari pelbagai bidang kursus yang berbeza, namun mereka tetap tidak melupakan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda mereka.

          Johan pada pertandingan kali ini telah disandang oleh peserta dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan beliau seterusnya akan mewakili universiti ke peringkat kebangsaan. Gambar di atas pula merupakan peserta dari Universiti Pendidikan Sultan Idris yang berjaya mendapat tempat ketiga. Syabas diucapkan kepada pihak penganjur dan peserta-peserta yang mengambil bahagian sekalian. Semoga pertandingan seperti ini akan terus dianjurkan dari semasa ke semasa. Sekian..

No comments:

Post a Comment