Tuesday, 9 October 2012

Falsafah P. Ramlee



Assalammualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada pembaca ruangan blog sekalian. Semoga kalian sentiasa sihat hendaknya. Pada kali ini, saya akan membicarakan tentang tajuk Falsafah P. Ramlee. Pasti pembaca sekalian sudah mendengar dan menonton klip video yang saya paparkan di atas. Dalam klip video tersebut Allahyarham Tan Sri P. Ramlee atau nama sebenar beliau Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh ada menyuarakan pandangan beliau tentang generasi yang akan datang. Beliau bercakap dalam konteks muzik, beliau menjelaskan bahawa muzik tradisional perlu diajar dari peringkat awal supaya apabila dewasa perkara tersebut telah tertanam dalam jiwa mereka. Lebih penting lagi, beliau memfokuskan kepada muzik-muzik yang menjadi hak milik orang-orang Melayu seperti dondang sayang, ghazal, seloka dan sebagainya. Sekiranya pembaca ingin mengetahui dan mendengar lebih lanjut tentang apa yang diperkatakan oleh beliau, boleh melayari laman berikut http://www.youtube.com/watch?v=P4ptBPg4d14 (minit keenam). Beliau menjelaskan sekiranya perkara ini tidak dipandang serius, nescaya dalam tempoh 10 atau 20 tahun akan datang muzik-muzik dari luar akan masuk ke negara ini dan memberi pengaruh yang kuat kepada anak remaja kita.

          Jadi, betullah apa yang disangkakan oleh beliau. Sekiranya kita melihat kepada genre muzik yang didendangkan oleh anak remaja kita pada hari ini hampir kesemuanya dipengaruhi oleh muzik-muzik luar, terutamanya Barat. Jika kita dengar, ada sesetengah lirik lagunya telah dicampuradukkan antara bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Terkadang, sampai pendengar sendiri tidak faham apa sebenarnya yang ingin mereka sampaikan dalam karya yang mereka hasilkan. Lebih parah lagi apabila gaya berpakaian artis-artis dari luar ini turut menjadi ikutan kepada anak-anak muda hari ini. Begitulah kuatnya pengaruh yang mereka bawa untuk menjajah pemikiran anak muda di Malaysia pada hari ini. Hal ini sudah seperti boleh diagak oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee apabila beliau mengulas tentang perkara ini semasa hayatnya. Sedarlah wahai artis-artis sekalian, apa salahnya menjadikan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sebagai idola dalam menghasilkan karya-karya anda. Lihatlah, walaupun beliau menggunakan bahasa Melayu sebagai medium utama, namun lagu-lagu beliau tetap didengar sehingga ke hari ini. Beliau berbahasa Melayu bukan bermakna beliau tidak menguasai bahasa lain, beliau juga fasih berbahasa Inggeris. Namun, semangat dan cinta akan bahasa Melayu yang mungkin menyebabkan beliau menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam setiap karya yang dihasilkan oleh beliau. Jika beliau boleh melakukan sebegitu dan boleh berjaya, kita juga pasti boleh bukan? 

          Sebelum berpisah saya sertakan antara lagu daripada artis Melayu yang telah dijajah oleh pengaruh luar. Saksikanlah video klip berikut. Sekian..





No comments:

Post a Comment