Wednesday, 17 October 2012

Bahasa Anak Kecil



Assalammualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan buat pembaca ruangan blog sekalian. Pada kali ini, saya akan membicarakan tentang tajuk Bahasa Anak Kecil. Dalam mencari-cari idea untuk membuat entri baharu, saya terlihat satu klip video anak-anak kecil yang sedang menyanyikan koleksi lagu kanak-kanak berserta dengan tarian yang sangat mencuit hati. Saya tidak pasti lokasi klip video ini dirakamkan, namun dari apa yang saya lihat klip video ini merupakan rakaman dari murid-murid pra-sekolah. Jika anda perhatikan murid-murid ini membuat satu persembahan yang pada saya sesuatu yang menarik dan menghiburkan.

         Pada pendapat saya, ucapan taniah harus diberikan kepada tenaga pengajar yang melatih murid-murid ini kerana bijak dalam membentuk dan mencungkil kreativiti murid-muridnya. Aktiviti seperti inilah yang kita harapkan apabila menghantar anak-anak kita ke pra-sekolah. Melalui aktiviti seperti ini, anak-anak kecil ini akan belajar cara untuk berfikir, berkomunikasi, bergerak, menghafal dan sebagainya. Seterusnya, dapat membina keyakinan dalam diri mereka untuk berhadapan dengan orang ramai. Saya kira penerapan ilmu seperti ini selain daripada aktiviti biasa dalam kelas, dapat mewujudkan perasaan ingin mencuba dalam diri murid-murid ini dan memberikan pengalaman yang berguna kepada mereka.

        Selain itu, melalui nyanyian seperti ini juga secara tidak langsung kita sudah mengajar anak-anak kecil ini tentang penguasaan berbahasa. Melalui cara ini murid-murid tersebut akan berkomunikasi dengan lebih kerap untuk berbincang, berlatih, bermain, menghafal dan sebagainya. Hal ini merupakan suatu perkara yang positif dalam usaha kita untuk menggalakkan anak-anak kecil ini untuk berbahasa dengan betul. Seterusnya, diharapkan penguasaan berbahasa mereka akan terus meningkat mengikut tahap usia dan pembelajaran mereka kelak. Sekian.. 




No comments:

Post a Comment