Assalammualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan buat pembaca ruangan blog sekalian. Semoga anda semua berada dalam keadaan sihat hendaknya. Pada kali ini, saya akan membincangkan tentang situasi sekitar Persidangan Antarabangsa Memartabatkan Bahasa Melayu sempena Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Perak 2012. Persidangan yang berlangsung selama dua hari ini, iaitu bermula dari 15 - 16 Oktober 2012, telah diadakan di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak. Persidangan ini bukan sahaja melibatkan pembentang-pembentang kertas kerja dari dalam negara, bahkan turut disertai oleh pembentang-pembentang dari negara luar seperti dari Singapura, Indonesia dan Selatan Thailand.
Pada pendapat saya, persidangan seperti ini sangat bersesuaian diadakan atau dianjurkan dengan lebih kerap dalam memberikan pendedahan kepada kita tentang keadaan semasa bahasa Melayu pada waktu ini. Selain dapat bertukar-tukar maklumat sesama bangsa Melayu, persidangan sebegini juga dapat mengeratkan hubungan persahabatan. Di samping itu, persidangan seperti ini dapat memberikan kesan positif kepada golongan muda terutamanya mahasiswa dan mahasiswi supaya sayang akan bahasa ibunda sendiri dan seterusnya dapat menanamkan sifat patriotik terhadap bahasa Melayu dalam diri mereka.
Namun, sedikit mengecewakan saya ialah sambutan yang diberikan oleh pihak kementerian kurang memberangsangkan. Sekiranya diperhatikan sepanjang dua hari persidangan ini berlangsung, saya tidak lihat mana-mana wakil dari kementerian yang turut hadir dalam mendengar tentang permasalahan atau cadangan yang diberikan oleh ahli-ahli panel yang mengambil bahagian. Perkara ini dilihat sebagai suatu yang mengecewakan kerana bercakap sahaja tanpa mendapat bantuan atau sokongan dari pihak kementerian sememangnya sesuatu yang sukar untuk kita mengubah apa-apa dasar sekali pun. Diharapkan situasi seperti ini tidak akan berlaku lagi pada masa yang akan datang. Sekian..
No comments:
Post a Comment