Friday, 19 October 2012

Istilah 'dengan izin'


Assalammualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan buat semua pembaca ruangan blog sekalian. Pada kali ini, saya akan membicarakan serba sedikit tentang pandangan yang telah diutarakan oleh Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim, iaitu berkaitan dengan penggunaan istilah 'dengan izin' sebelum menuturkan sesuatu perkataan dalam bahasa Inggeris. Beliau menyuarakan pandangan tersebut semasa membentangkan kertas kerja beliau di Persidangan Antarabangsa Memartabatkan Bahasa Melayu sempena Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Perak 2012 yang telah berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak.

          Mengulas lanjut tentang pandangan beliau, beliau memberikan contoh situasi yang berlaku di persidangan Dewan Rakyat. Beliau mengatakan bahawa kebanyakan daripada wakil rakyat yang berucap di Parlimen kerap menggunakan istilah 'dengan izin' sebelum bercakap dalam bahasa Inggeris. Namun, apa yang mengecewakan, wakil-wakil rakyat ini terlalu kerap menggunakan istilah 'dengan izin'. Hal ini seolah-olah mereka menggunakan istilah ini untuk tujuan bercakap dalam bahasa Inggeris kerana bahasa rasmi yang digunakan di Dewan Rakyat ialah bahasa Melayu. Jadi, untuk menutup kelemahan mereka dalam berbahasa Melayu, mereka telah menggunakan istilah 'dengan izin' sebagai pelindungnya.

          Pada pendapat saya, apa yang diperkatakan oleh beliau ini sememangnya ada rasionalnya. Jika anda pernah menonton siaran langsung persidangan Dewan Rakyat, pasti anda akan perasan tentang situasi ini. Saya juga menyokong seruan beliau agar persidangan Dewan Rakyat ini tidak disiarkan secara langsung di televisyen kerana hal ini akan mempengaruhi anak muda di negara ini apabila menontonnya. Oleh itu, sebagai seorang wakil rakyat yang bernama pemimpin harusnya sedar tentang perkara ini kerana anda merupakan contoh kepada pengikut anda. Sekian..




No comments:

Post a Comment