Assalammualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan buat pembaca ruangan blog sekalian. Pada kali ini, saya akan membincangkan satu tajuk yang menarik, iaitu Tradisional, Sinonim, Antonim. Dalam bahasa Melayu pengkajian makna perkataan boleh dilakukan dengan melihat makna perkataan secara sinonim atau antonim. Sinonim menurut Kamus Linguistik (1997:204) merupakan dua kata atau lebih yang mempunyai makna yang sama atau hampir sama dalam sesuatu bahasa. Sebagai contohnya, kata perempuan dalam bahasa Melayu boleh disamakan maksudnya dengan wanita. Contoh perkataan lain ialah kain (sarung) dan ibu (emak).
Menurut Kamus Dewan (1998), kata ibu dapat dijelaskan sebagai orang yang melahirkan kita, manakala kata emak dapat diterangkan sebagai orang yang melahirkan seseorang. Berdasarkan kedua-dua kata tersebut dapat disinonimkan yakni kata ibu dapat disinonimkan dengan kata emak dan begitulah sebaliknya. Walau bagaimanapun, terdapat kekecualian yakni tidak semua kata-kata bersinonim ini sesuai digunakan dalam ayat. Ini kerana walaupun kata sinonim membawa maksud yang sama, namun penggunaannya banyak bergantung kepada jenis dan konteks ayat-ayat yang dibina. Contoh ayat:
a) Emak Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur terletak di Jalan Hang Tuah.
Oleh sebab itu, sekiranya digantikan kata emak dengan ibu, ayat berikut pastinya dapat diterima dan gramatis.
b) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur terletak di Jalan Hang Tuah.
Berdasarkan contoh ayat tersebut, kata emak tidak sesuai digunakan kerana akan berlaku kesalahan makna apabila dibaca, ditulis atau dituturkan. Oleh yang demikian, tidak semua kata-kata yang bersinonim boleh bertukar ganti dalam pembinaan sesuatu ayat. Ia sebenarnya banyak bergantung kepada makna yang ingin disampaikan dalam sesuatu ayat tersebut. Begitulah uniknya bahasa Melayu kita ini. Sekian..
No comments:
Post a Comment