Saturday, 27 October 2012

Bahasa Jiwa Bangsa



Assalammualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan buat pembaca ruangan blog sekalian. Semoga kalian berada dalam keadaan sihat hendaknya. Pada kali ini, saya akan membicarakan tajuk Bahasa Jiwa Bangsa dengan menjadikan lagu Bahasa Jiwa Bangsa yang dicipta pada sekitar tahun 60-an sebagai sumber rujukan. Pasti anda sudah pernah mendengar dendangan lagu tersebut sebelum ini. Jika kita meneliti bait-bait seni katanya, pencipta menyatakan bahawa bahasa merupakan medium penyatuan perpaduan di negara ini. Selain itu, masyarakat boleh disatukan dengan menggunakan bahasa Melayu. Oleh itu, dengan bahasa juga kita boleh membuktikan taat setia kepada negara. Begitulah sedikit rumusan yang boleh saya nyatakan apabila mendengar lirik lagu tersebut.

          Pada pendapat saya, apa yang dinyatakan oleh penulis dalam liriknya ini sememangnya benar kerana bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi negara Malaysia. Sekiranya penduduk di Malaysia menggunakan bahasa yang sama dalam kehidupan seharian mereka secara tidak langsung dapat menanamkan sifat patriotisme dalam diri mereka tanpa mengira apa bangsa sekalipun. Namun, kini kita lihat bagaimana situasi di negara kita yang semakin meminggirkan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan.

           Buktinya, kita tidak perlu bercakap tentang hubungan perpaduan antara bangsa Melayu dengan bangsa lain. Saya kira cukup sahaja kita melihat perpaduan dalam kalangan orang Melayu itu sendiri yang semakin berpecah. Kadang-kala hanya disebabkan oleh perkara-perkara kecil seperti politik, sikap dengki dan sebagainya. Inilah akibatnya apabila kita tidak mempertahankan dasar yang sangat baik hasil perjuangan oleh datuk nenek kita dahulu. Bagaimana kita hendak menyatukan perpaduan antara 1 bangsa dengan 1 bangsa yang lain sekiranya bangsa Melayu kita sendiri semakin rapuh perpaduannya.

          Perkara ini mungkin tidak disedari oleh para pemimpin yang sangat kita sanjungi sekarang ini. Mereka  begitu galak menggunakan bahasa Inggeris. Kesannya kita boleh melihat sendiri pada masa ini, di mana masyarakat di Malaysia semakin hilang nilai-nilai murninya. Remaja dengan masalah sosialnya, pemimpin dengan masalah pimpinannya dan perpaduan dengan masalah perpecahannya. Inikah negara yang kita impikan? Tepuk dada tanyalah selera. Saya kira pasti datuk nenek kita akan berasa sedih jika mereka dapat melihat situasi perpaduan negara pada ketika ini. Sekian..





No comments:

Post a Comment