Thursday, 25 October 2012

Bahasa Menunjukkan Bangsa





Assalammualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan buat pembaca ruangan blog sekalian. Saya doakan kalian sentiasa berada dalam keadaan sihat hendaknya. Pada kali ini, saya akan membicarakan tajuk Bahasa Menunjukkan Bangsa. Saya yakin pasti anda telah menonton klip video yang saya paparkan di atas. Klip video ini merupakan cebisan cerita dari filem Seniman Bujang Lapok. Jika kita menonton klip video tersebut (minit 21 hingga 23), berlaku kesalahan penggunaan kata sapaan atau panggilan gelaran yang tidak betul sehingga menyebabkan berlakunya konflik dan masalah dengan orang lain. Sebagai contoh watak Sudin dalam cerita tersebut menyapa seorang pengawal dengan panggilan 'woi'. Kemudian pengawal tersebut tidak menjawab, sebaliknya menyindir dengan berkata, "Nama sahaja orang Melayu, tapi panggil orang woi woi, ingat batu ka, kayu ka." Seterusnya, watak Ramlee menegur tindakan Sudin yang kurang sopan dan beliau pula menyapa pengawal tersebut dengan berkata, "Tabik Tuan Singh." Kemudian pengawal tersebut menjawab, "Saya bukan tuan, saya jaga."

          Begitulah serba sedikit ayat-ayat yang diucapkan oleh watak-watak dalam cerita tersebut. Jika kita perhatikan pada situasi yang pertama, watak Sudin menyapa orang yang tidak dikenalinya dengan panggilan yang kurang sopan manakala dalam situasi dua, watak Ramlee pula menyapa pengawal tersebut dengan panggilan gelaran yang salah. Jika kita menelitinya, hal inilah yang sering berlaku dalam kehidupan seharian kita. Tanpa kita sedari kadang-kala kita menegur orang lain dengan panggilan yang tidak sepatutnya tanpa menyelidik terlebih dahulu latar belakang seseorang itu. Kebiasaannya, mulut kita begitu lancar untuk memanggil orang lain dengan gelaran kakak, abang, pak cik, mak cik dan sebagainya dengan hanya melihat kepada penampilan luarannya sahaja seperti berumur dan sebagainya.

          Perkara ini bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan. Sekiranya dalam kalangan ahli keluarga atau kenalan yang rapat mungkin tidak mengapa. Namun sekiranya melibatkan orang lain seperti pengurus besar, penemuduga, profesor, pensyarah dan sebagainya yang mempunyai kelayakan yang tertentu sudah semestinya mereka akan memberikan tanggapan negatif kepada orang yang memanggil tersebut. Sebagai contoh, semasa menghadiri temuduga anda memanggil individu yang menemuduga anda itu dengan panggilan pak cik atau mak cik. Sudah semestinya mereka akan memberikan pandangan bahawa anda seorang yang tidak pandai berkomunikasi dengan orang lain.

          Oleh itu, seharusnya kita menggunakan kata sapaan atau panggilan gelaran yang betul semasa menegur atau bercakap dengan orang lain terutamanya individu yang baharu dikenali. Sebaik-baik kata sapaan atau panggilan gelaran ialah saudara, saudari, encik, puan dan cik puan. Berikut saya sertakan senarai kata sapaan atau panggilan gelaran yang boleh digunakan sebagai panduan apabila kita berkomunikasi dengan orang-orang tersebut. Sekian..








No comments:

Post a Comment