Monday, 22 October 2012

Melayu Bukan Sekadar pada Bahasa


Assalammualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan buat pembaca ruangan blog sekalian. Semoga anda berada dalam keadaan sihat hendaknya. Pada kali ini, saya akan membincangkan tentang tajuk Melayu Bukan Sekadar pada Bahasa. Saya ingin bercakap tentang tajuk ini kerana saya lihat pada masa ini terlalu banyak masalah yang dialami oleh orang Melayu sendiri berbanding dengan bangsa lain. 

         Pertamanya, saya melihat situasi di mana masyarakat Melayu di Malaysia semakin berpecah hanya disebabkan oleh fahaman politik yang berbeza. Oleh sebab hanya perbezaan ini, ada jiran yang tidak bertegur dengan jiran sebelah, ada anak tidak bercakap dengan ibu bapa dan ada pemimpin Melayu tidak bertegur sapa dengan pemimpin Melayu yang lain. Persoalannya, apakah faedah yang kita dapat daripada situasi seperti ini? Bangsa lain juga berpolitik tetapi mereka tetap kenal bangsa mereka. Mereka tidak terlalu ghairah menjadi penentang sesama bangsa mereka. Namun, hal yang sebaliknya berlaku kepada bangsa Melayu kita.

          Seterusnya, bercakap pula tentang anak remaja Melayu. Apa lagi yang boleh dibanggakan sekiranya yang negatif lebih banyak daripada yang positif. Lihat sahajalah sekarang ini, sedang anak remaja bangsa lain sibuk mengejar masa hadapan, anak remaja Melayu hanyut dengan keseronokan. Sebut sahaja masalah buang bayi, lumba haram, hisap dadah dan sebagainya, pasti sahaja majoritinya dilakukan oleh anak remaja Melayu. Maaf dipinta, sebelum ini jika kita perhatikan bangsa India merupakan kelompok terbawah di negara ini. Namun, kini kita lihat bagaimana mereka mula mengubah nasib bangsa mereka yang semakin meningkat setaraf dengan bangsa Cina. Sedangkan bangsa Melayu terus terbuai dengan mimpi indah hidup di tanah sendiri yang terlalu banyak bergantung kepada subsidi.

          Sedarlah wahai bangsaku, semakin kita menuju ke arah apa yang disebut sebagai globalisasi, sebenarnya bangsa kita semakin ketinggalan di belakang bangsa-bangsa lain di negara Malaysia kita ini. Apa yang boleh saya kaitkan di sini, bagaimana kita mahu memartabatkan penggunaan bahasa Melayu di negara Malaysia ini sekiranya kedudukan bangsa kita sekarang ini tidak lagi kukuh. Jika hendak berdebat sekali pun tentang masalah ini sudah semestinya kita telah kalah dari peringkat awal lagi kerana di Malaysia kuasa politik merupakan segala-galanya. Perkara inilah yang harus disedari oleh bangsa Melayu. Sekian.. 

(Negara Malaysia yang sebelum ini dikenali sebagai Tanah Melayu merupakan hak asal bangsa Melayu. Namun, berapa ramai orang Melayu mempunyai tanah sendiri di Tanah Melayu. Berapa ramai orang Melayu mempunyai kereta yang boleh meluncur di atas jalan raya di Tanah Melayu. Berapa ramai anak Melayu yang berjaya dalam pernigaan di pasar niaga di Tanah Melayu?)





No comments:

Post a Comment