Thursday, 27 September 2012

Penggunaan Kata Pemeri dalam Bahasa Melayu


Assalammualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan sekali lagi kepada pembaca sekalian. Diharapkan kalian sentiasa sihat hendaknya. Baiklah, dalam ruangan pada kali ini saya akan membincangkan pula tentang penggunaan kata pemeri dalam bahasa Melayu, iaitu perkataan ialah dan adalah. Saya terpanggil untuk membincangkan tentang perkara ini disebabkan oleh terdapat ramai pengguna bahasa Melayu sering terkeliru dengan penggunaan dua istilah ini, sama ada dalam penulisan mahupun percakapan. Saya sendiri juga kadang-kadang terlepas pandang tentang hal ini semasa asyik menaip tugasan atau bercakap dengan orang lain.

          Pertamanya, kita pergi terlebih dahulu kepada maksud kata pemeri itu sendiri. Menurut Nik Safiah Karim et al. (2011:263) menyatakan bahawa kata pemeri ialah unsur yang menjadi pemeri hal atau perangkai antara subjek dengan frasa-frasa utama dalam predikat. Pemerihalan itu dapat dilakukan melalui dua cara, iaitu:


i) secara persamaan antara subjek dengan predikat, dengan penggunaan kata pemeri ialah,
ii) secara huraian tentang subjek oleh predikat, dengan penggunaan kata pemeri adalah.



          Penggunaan kata pemeri ialah hadir di hadapan frasa nama seperti yang terdapat dalam ayat yang berikut:

1. Bahasa Melayu ialah salah satu bahasa yang tergolong dalam keluarga Austronesia.

         

          Kata pemeri adalah pula hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama, seperti yang terdapat dalam ayat berikut:

2. Sumbangan besar beliau adalah dari segi peningkatan ekonomi rakyat luar bandar.

3. Makanan seimbang adalah baik untuk kesihatan badan.



         # Bagi memudahkan lagi pemahaman anda semua, saya rumuskan sedikit formula kecil di bawah sebagai memudahkan kita untuk mengingat.

                     - ialah     +  FN    (frasa nama)
                     - adalah  +  FA    (frasa adjektif)
                                    +  FSN  (frasa sendi nama)



          Namun, perlu diingat bahawa penggunaan kata pemeri amat terbatas, dan sebenarnya kurang digalakkan dalam pembentukan ayat bahasa Melayu. Perlu juga diingat bahawa kata pemeri tidak boleh hadir di hadapan frasa kerja atau kata kerja. Oleh yang demikian, penggunaan kata pemeri adalah dalam ayat-ayat berikut dianggap menyalahi tatabahasa bahasa Melayu.

4. *Adalah diberitahu sekolah akan ditutup esok.

5. *Kegagalan projek itu adalah disebabkan oleh kecuaian pihak pengurusan syarikat itu.




          Saya kira cukup dahulu coretan untuk kali ini. Semoga apa yang saya paparkan ini akan dapat membantu pembaca sekalian dalam menyelesaikan kekeliruan yang sering berlaku sebelum ini apabila ingin menggunakan dua kata pemeri ini. Namun, maaf dipinta kerana saya hanya menggunakan satu buku rujukan sahaja dalam menerangkan tentang perkara ini, iaitu buku Tatabahasa Dewan (Edisi Pelajar). Saya beranggapan bahawa penerangan yang diberikan dalam buku ini sudah cukup jelas untuk membantu kita memahami bagaimana penggunaan kata pemeri ini. Sekiranya pembaca ingin mendapatkan maklumat dari sumber yang lain, sangat saya galakkan dalam membantu kita untuk lebih mudah memahami. Jika anda sudah memahami sila jawab satu soalan yang tersedia di bawah ini. Sekian.







No comments:

Post a Comment