Assalammualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada pembaca sekalian. Semoga kalian berada dalam keadaan sihat hendaknya. Baiklah, pada kali ini saya ingin berbicara tentang satu tajuk yang boleh dianggap menarik, iaitu Retorik Politik Pemimpinku. Pada anggapan saya tajuk ini sangat sesuai dibincangkan ketika ini, di saat kehangatan proses Pilihan Raya Kampus (PRK) yang baru sahaja tamat dalam beberapa jam yang lepas. Saya memilih tajuk ini kerana terdapat perkaitan situasi dengan haluan penulisan blog ini. Pada kali ini fokus akan diberikan kepada penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan calon yang bertanding.
Sebelum saya pergi lebih jauh, baik kiranya saya jelaskan sedikit tentang maksud retorik. Retorik merupakan istilah yang secara tradisional diberikan pada cara pemakaian bahasa sebagai seni yang didasarkan pada pengetahuan yang tersusun baik (Gorys Keraf, 1981:1). Dalam A Greek-English Lexicon, (Liddell, 1953), menjelaskan istilah rhetoric berasal daripada bahasa Greek purba, iaitu rhetorike (tekhne) yang biasanya diterjemahkan sebagai the rhetorical art atau art of rhetoric. Rhetoric techne juga boleh membawa maksud seni berpidato. Corax pula mendefinisikan retorik sebagai, the artificer or persuasion, iaitu bidang kajian tentang pemujukan (Abu Hassan Abdul & Mohd Rashid Md Idris, 2010:1). Secara umumnya, dapatlah difahami bahawa retorik merupakan seni pemakaian bahasa yang digunakan untuk memujuk dan meyakinkan khalayak yang mendengarnya.
Oleh itu, dalam beberapa hari yang lepas kita boleh mendengar para calon yang bertanding mengeluarkan pelbagai manifesto masing-masing dengan satu tujuan untuk menarik rakan mahasiswa/ mahasiswi untuk mengundi mereka. Saya rasa situasi ini bukan sahaja berlaku di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tempat saya menuntut ilmu sekarang ini. Bahkan universiti-universiti lain yang ada di negara ini turut merasai situasi yang sama. Namun, untuk penulisan ini saya hanya ingin berbicara dalam konteks retorik yang digunakan oleh calon-calon yang bertanding di UPSI sahaja. Alhamdulillah, dari apa yang saya dengar calon-calon yang bertanding menggunakan bahasa Melayu dalam menyampaikan manifesto masing-masing. Para calon juga ternyata mempunyai tahap penguasaan bahasa Melayu yang baik. Kemungkinan perkara ini disokong oleh latar belakang pendidikan calon yang baik. Saya kira situasi ini merupakan satu situasi yang menyenangkan kerana sebagaimana yang kita tahu, mahasiswa/ mahasiswi merupakan aset negara dan juga tonggak negara pada masa akan datang. Sekiranya mahasiswa/ mahasiswi pada hari ini mempunyai tahap penguasaan bahasa Melayu yang baik, nescaya masih ada sinar yang boleh diharapkan dalam usaha memartabatkan kembali penggunaan bahasa Melayu dalam pelbagai bidang utama di negara ini.
Saya kira cukup dahulu penulisan saya untuk kali ini, sekiranya terdapat sebarang pandangan dan pendapat boleh dikongsikan diruangan komen. Sebelum saya mengundur diri, saya ada masukkan video antara calon-calon yang bertanding di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada kali ini sebagai halwa mata pembaca sekalian. Sekian..
No comments:
Post a Comment