Assalammualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada anda semua. Sekali lagi kita berjumpa di ruangan penulisan blog ini. Saya pasti anda semua telah mengetahui tentang tajuk yang akan saya pilih untuk kali ini selepas melihat gambar di atas. Ya, sememangnya saya memilih tajuk tentang penggunaan bahasa SMS atau nama penuhnya Short Message Service. Saya kira penggunaan SMS pada zaman ini sangat meluas di seluruh negara. Hal ini disebabkan oleh kemudahannya yang lebih cepat untuk menghantar sesuatu maklumat kepada orang lain dan yang lebih penting harganya juga jimat berbanding membuat panggilan secara terus. Oleh sebab itulah, tidak hairan mengapa masyarakat hari ini lebih gemar menggunakan SMS sebagai medium penghantaran sesuatu maklumat.
Seterusnya, sebagai pelajar saya juga tidak terkecuali menggunakan kemudahan ini. Namun, dalam ruangan ini kita akan membincangkan tentang kesan-kesan penggunaan SMS dari sudut bahasa. Saya tidak mengatakan bahawa penggunaan kata-kata pendek atau ringkas dalam sesuatu SMS itu adalah salah. Sememangnya, sudah namanya pun Short Message Service, jadi bukanlah menjadi satu kesalahan sekiranya kita menerima maklumat dari orang lain dalam kata-kata yang pendek atau ringkas. Jika hendak menyampaikan maklumat yang banyak dan panjang buat apa guna SMS, buat sajalah panggilan secara terus.
Namun, harus diingat walaupun pesanan yang dihantar itu boleh dalam kata-kata yang pendek dan ringkas, tetapi seharusnya berpada-pada. Biarlah pesanan yang dihantar tersebut mudah untuk difahami oleh pembaca yang menerimanya. Takut-takut lain pesanan yang hendak dihantar lain pula maksud yang difahami oleh orang yang menerimanya. Bukankah ini akan menyebabkan berlakunya pula masalah-masalah lain yang mungkin menyebabkan berlakunya fitnah dan sebagainya.
Seterusnya, jika kita hendak berhubungan dengan orang yang lebih tua ataupun ibu bapa kita sendiri, saya fikir lebih eloklah menggunakan panggilan secara terus kerana perkara ini lebih baik dalam menunjukkan rasa hormat kepada mereka. Bagi para pelajar pula, penggunaan SMS sememangnya menjimatkan. Namun, sekiranya SMS itu dibuat dalam tempoh yang panjang, bukankah sama juga nilainya dengan membuat panggilan. Mahal jugakan? Bak kata pepatah tepuk dada tanyalah selera :-)
Cukup dahulu coretan saya untuk kali ini semoga apa yang telah dibincangkan sedikit sebanyak dapat memberikan ilmu kepada anda sekalian. Insya-Allah, kita berjumpa lagi di ruangan yang akan datang. Sekian.
No comments:
Post a Comment