Tuesday, 2 October 2012

Khilaf


Assalammualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan buat pembaca ruangan penulisan blog saya ini. Saya berharap anda semua berada dalam keadaan sihat selalu. Pada kali ini, saya akan membincangkan tentang penggunaan bahasa Inggeris pada papan tanda di negara kita. Lokasi yang saya pilih cuma berdekatan dengan tempat tinggal saya, iaitu di Proton City, Tanjung Malim. 


           Nama tempat ini pun telah diletakkan dalam bahasa Inggeris, apa salahnya menggunakan sahaja nama 'Bandar Proton'. Lebih sesuai bukan? Kemungkinan pihak yang bertanggungjawab meletakkan nama tempat ini dalam bahasa Inggeris bertujuan untuk menunjukkan kemajuan di tempat tersebut. Persoalannya, mengapa ada sesetengah papan tandanya menggunakan bahasa Melayu dan ada pula yang menggunakan bahasa Inggeris. Jika mahu menunjukkan kemegahannya sekalipun, gunakanlah bahasa Inggeris pada keseluruhan papan tanda di Proton City ini. Tidak perlulah menggunakan bahasa Melayu pada sesetengah tempat dan sesetengah tempat lagi menggunakan bahasa Inggeris seperti dalam gambar yang saya paparkan di bawah.


          Jika anda lihat pada gambar satu, papan tanda tersebut menggunakan bahasa Melayu manakala pada gambar dua, papan tandanya menggunakan bahasa Inggeris. Untuk pengetahuan anda semua, jarak kedudukan kedua-dua papan tanda ini hanya dipisahkan tidak sampai 100 meter. Tidak dinafikan, perkara ini bukanlah sesuatu yang serius sehingga boleh mendatangkan kemalangan atau sebaliknya. Namun, sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, pihak yang bertanggungjawab dalam menyediakan papan tanda ini seharusnya mengambil perhatian tentang perkara ini. Apalah salahnya sekiranya kita berbangga dengan bahasa yang kita miliki ini. Bukankah dengan menggunakan bahasa Melayu pada setiap papan tanda yang disediakan akan lebih mudah difahami dan sedap dipandang. 

          Saya memohon kepada pihak yang bertanggungjawab supaya tidak mengambil ringan tentang perkara ini kerana anda juga merupakan antara tunjang kuat yang dapat membantu dalam memartabatkan bahasa Melayu di bumi tercinta ini. Sekian..

















No comments:

Post a Comment