Monday, 1 October 2012

Saat Hilang Semangat Perjuanganmu


Assalammualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan buat pembaca yang budiman sekalian. Semoga kalian sentiasa berada dalam keadaan sihat selalu. Bertemu kita sekali lagi dalam ruangan penulisan blog ini. Baiklah, pada penulisan kali ini saya ingin membawa pembaca sekalian mengenali seorang tokoh bahasa yang mempunyai semangat juang yang tinggi dalam mempertahankan kedudukan bahasa Melayu di bumi Malaysia ini. Insan yang saya maksudkan itu ialah Allahyarham Datuk Dr. Hassan Ahmad. Beliau merupakan antara tokoh bahasa yang kuat menentang dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang suatu ketika dahulu telah diperkenalkan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada tahun 2002 dan dilaksanakan pada tahun 2003. Berikut saya sertakan satu klip video kata-kata daripada Allahyarham Datuk Dr. Hassan Ahmad atas rasional penentangan beliau dan pejuang-pejuang bahasa yang lain terhadap isu PPSMI ini. Saksikanlah..




          Lihatlah betapa baiknya pemikiran yang dimiliki oleh beliau. Beliau memberikan contoh tentang negara-negara yang maju di dunia, walaupun menggunakan bahasa ibunda masing-masing dalam sistem pengajaran mereka tetapi negara-negara ini tetap berjaya melahirkan pakar-pakar dalam bidang sains dan  juga bidang-bidang lain. Hal ini sememangnya nyata, lihat sajalah negara-negara yang maju seperti Rusia, Jepun dan sebagainya yang begitu kuat mempertahankan bahasa ibunda mereka. Namun, apa yang berlaku di Malaysia menunjukkan satu situasi yang begitu berbeza. Seolah-olah apabila menggunakan bahasa Melayu, negara tidak akan maju dan tidak dapat melahirkan pelajar-pelajar yang hebat apabila memasuki alam pekerjaan kelak. Sedarlah wahai umat yang sebangsa denganku, walau dengan apa bahasa sekalipun yang kita guna, sekiranya ada kesungguhan dan bekerja keras nescaya Allah akan membalasnya dengan kejayaan.

          Seterusnya, kita lihat sedikit tentang latar belakang Allahyarham. Allahyarham Datuk Dr. Hassan Ahmad dilahirkan pada 8 Disember 1936 di Muar, Johor merupakan anak sulung daripada lapan beradik dan anak pegawai polis zaman British. Bersekolah di Sekolah Melayu Mersing (1942-1943), Sekolah Melayu Muar (1945-1948), Sekolah Tinggi Muar dan Maktab Melayu Kuala Kangsar (1957). Di Universiti Malaya beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera. Semasa di Universiti Malaya juga beliau merupakan Setiausaha Persatuan Bahasa Melayu (1960-1961) dan menjadi Presiden Persatuan Bahasa Melayu (1961-1962). Kenalan beliau memanggil beliau sebagai 'Penghulu' kerana suka membela orang Melayu. Antara rakan seuniversiti beliau ialah Ali Haji Ahmad dan Kassim Ahmad. Menyingkap pula sedikit ke alam pekerjaan beliau, beliau pernah menjawat jawatan sebagai Penolong Pegawai Daerah Pontian (1962) dan menjadi Pegawai Penyelidik di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mulai 1963 dan Ketua Pengarah DBP (1976).

          Beliau juga turut menyertai Perarakan Keranda Mac 2009 yang merupakan perarakan aktivis bahasa dan rakyat Malaysia yang antara lain mahu polisi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan. Perarakan yang disertai oleh 8,000 orang, bermula pada pukul 2.00 petang pada 7 Mac 2009 menuju ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum kepada Yang Dipertuan Agong. Perarakan ini dianjurkan oleh Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) dan disertai oleh Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said dan pengerusi GMP Datuk Dr. Hassan Ahmad serta barisan pemimpin politik seperti Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang. Untuk maklumat lanjut boleh layari laman web yang dinyatakan http://ms.wikipedia.org/wiki/Hassan_Ahmad

          Kesimpulannya, saya boleh nyatakan di sini bahawa perjuangan yang telah dijuangkan oleh Allahyarham Datuk Dr. Hassan Ahmad ini dan pejuang-pejuang bahasa yang lain bukanlah untuk kepentingan diri mereka sendiri, sebaliknya merupakan satu perjuang ikhlas dalam mempertahankan kedudukan bahasa Melayu di negara ini. Sepatutnya, semua orang Melayu harus mempunyai semangat yang sama seperti beliau juga. Ribuan terima kasih juga saya ucapkan kepada laman web http://ms.wikipedia.org/wiki/Hassan_Ahmad yang banyak memberi maklumat kepada saya dalam penulisan pada kali ini. Saya mohon diberikan kebenaran. Sekian..

          











No comments:

Post a Comment